Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Taman Sri Mewah, Simpang Renggam Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Taman Sri Mewah, Simpang Renggam Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Suami isteri hilang tempat berteduh selepas rumah yang dihuni mereka sejak 11 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Taman Sri Mewah, Simpang Renggam, di sini, kelmarin.

Pasangan guru berkenaan menganggap kejadian itu sebagai ujian dan percaya Allah akan menggantikannya dengan rezeki lebih baik.

Mangsa, Zulhairi Mansor, 36, berkata dia bersyukur kerana isteri Intan Faizah M Nor, 36, dan bayi dalam kandungan berusia tujuh bulan selain empat anak berusia tiga hingga 10 tahun selamat.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di kedai kereta selepas keluar untuk membeli sarapan.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya pada 9.48 pagi memberitahu dalam keadaan cemas bahawa rumah mereka sedang terbakar.

"Saya bergegas pulang dan terus mencapai alat pemadam api yang berada di belakang pintu utama sebelum meluru ke bilik yang terletak di bahagian dapur.

"Ketika itu, asap sudah tebal dan saya cuba memadamkan api di puncanya tetapi gagal kerana sesak nafas

"Sebenarnya isteri terlebih dahulu sudah cuba memadamkan asap dari bilik itu, tetapi dia tidak dapat menarik picu alat pemadam api kerana cemas dan ketakutan," katanya.

Zulhairi berkata demikian selepas menerima kunjungan Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga itu, semalam.

Turut hadir, Amil Baitulmal Daerah Kluang, Al Azhar Ahmad Fazil dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kluang, Mohd Shazuwan Husnan Che Hamid.

Katanya, dia reda dengan kejadian itu dan kini menumpang sementara di rumah mentua di Kampung Melayu Manong, Ayer Hitam, di sini.

Sementara itu, Jamaludin berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa Zulhairi sekeluarga yang ditimpa musibah.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya juga berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan JKM apabila memberi bantuan awal kepada keluarga itu.

"JKM akan membuat penilaian tambahan kos kerugian sehingga RM2,000 dan sumbangan akan terus dikreditkan ke akaun milik mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 1:05 PM