Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Selepas terbabit dengan kemalangan 11 tahun lalu, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lans Koperal Zulhairi Radzi, 39, berada dalam keadaan separa koma dan terlantar di katil di rumahnya di Kampung Pangkal Chendok, di sini.

Zulhairi ketika ini hanya mampu mengerdip mata sebagai tindak balas dan isyarat memahami apa yang diperkatakan seseorang terhadapnya.

Menceritakan semula tragedi menimpa Zulhairi, ibunya Mek Zah Abdullah, 61, berkata, dalam kejadian November 2011, anaknya itu menunggang motosikal ketika pulang dari tempat kerja di Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur dan tidak tahu sama ada dia terbabas sendiri atau dilanggar kenderaan lain.

Mek Zah berkata, akibat kemalangan itu, anaknya mengalami pendarahan dalam kepala dan perlu menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala sebelah kanan bagi membuang darah beku.

"Selepas pembedahan itu, anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang selama seminggu untuk pemantauan rapi sehingga keadaannya stabil dan hampir sebulan dirawat di hospital itu sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

"Selama dua tahun saya berkampung di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sebelum Zulhairi dibenarkan pulang dan sehingga kini keadaannya tidak berubah yang terlantar dan separa koma," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Chendok, di sini, semalam.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan lawatan daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus yang menyampaikan bantuan kewangan, susu, serta barang keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.

Mek Nab berkata, setiap bulan dia perlu memperuntukkan hampir RM1,000 untuk membeli keperluan Zulhairi seperti lampin pakai buang, tisu basah dan tiub susu.

"Bagaimanapun, beban yang ditanggung sedikit ringan apabila JHEV menanggung keperluan susu yang diberikan setiap tiga bulan sekali dan selain itu Zulhairi juga mendapat pencen bulanan serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan," katanya.

Katanya, selepas anak kedua daripada tiga beradik itu terbabit dalam kemalangan, rutin hariannya turut berubah apabila perlu menguruskan segala keperluan anaknya yang terlantar termasuk memberi susu melalui saluran tiub yang dipasang di hidung sebanyak lima kali sehari setiap empat jam sekali selain mengelap badan dan menukar lampin pakai buang.

"Sebelum ini, Zulhari pernah berkahwin, namun selepas setahun terbabit dalam kemalangan dia berpisah dengan bekas isterinya dan mereka dikurniakan dua cahaya mata berusia 11 dan 13 tahun yang kini dijaga oleh bekas isterinya.

"Sejak itu, saya dan suami (Radzi Awang' To, 62) menjaga serta menguruskan segala keperluan Zulhairi dan setiap hari tidak putus berdoa kepada Allah SWT supaya ada keajaiban dia kembali sembuh walaupun ia adalah mustahil," katanya.

Mek Zah menguruskan anaknya yang berada dalam keadaan separa koma dan terlantar di katil selepas terbabit dengan kemalangan 11 tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Chendok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mek Zah menguruskan anaknya yang berada dalam keadaan separa koma dan terlantar di katil selepas terbabit dengan kemalangan 11 tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Chendok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 12:32 PM