Ahmad Hasbi

Seremban: Empat lelaki diburu polis selepas didapati terbabit dengan 25 kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian mencecah RM5 juta di seluruh negara sepanjang Februari lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dua daripada kes berkenaan yang dipercayai didalangi suspek sama dilaporkan di negeri ini membabitkan kerugian RM1.4 juta.

"Pada 20 dan 22 Februari lalu, polis menerima laporan membabitkan dua mangsa yang mendakwa ditipu dalam pelaburan ditawarkan melalui Facebook.

"Mangsa kemudian dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan seterusnya ditawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi," katanya pada sidang media yang diadaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa pertama seorang lelaki berusia 71 tahun yang juga bekas kakitangan syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta.

"Mangsa kedua seorang akauntan wanita berusia 49 tahun mengalami kerugian RM200,000. Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

AHMAD Dzaffir    menunjukkan empat individu yang dikesan polis bagi membantu siasatan kes pelaburan tidak wujud. - Gambar NSTP/AZRUL EDHAM
AHMAD Dzaffir menunjukkan empat individu yang dikesan polis bagi membantu siasatan kes pelaburan tidak wujud. - Gambar NSTP/AZRUL EDHAM

Menurutnya, berdasarkan siasatan dijalankan, sebanyak 25 kes dikesan membabitkan modus operandi sama dipercayai dilakukan suspek terbabit di seluruh negara.

"Kes ini dilaporkan berlaku sepanjang Februari lalu yang membabitkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM5.3 juta," katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengesan empat individu dipercayai dapat membantu siasatan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat ke balai polis atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Arif Jamaluddin di talian 019-4005037.

"Suspek dikenali sebagai V Paramesvaran, 38, Muhammad Subris Abdullah, 55, Muhammad Asraf Mohd Hissam, 27, dan Muhammad Sabran Alias, 38.

"Polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan melakukan semakan lebih terperinci sebelum menyertai skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 7:00 AM