Asrol Awang


Kuantan: Polis merekodkan 3,867 kes jenayah komersil terutamanya penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan sepanjang 2019 hingga September lalu membabitkan kerugian RM137.5 juta.

Ketua Polis negeri Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang, bagi tempoh Januari hingga September lalu, 1,295 kes dengan kerugian RM42.2 juta direkodkan.

"Statistik 2020 pula merekodkan kerugian RM47.9 juta membabitkan 1,325 kes.

"Bagi 2019, ia membabitkan 1,244 kes dengan jumlah kerugian RM47.4 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua JSJK negeri Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof.

Menurut beliau, antara kes tertinggi yang direkodkan ialah penipuan pinjaman tidak wujud, pelaburan, Love Scam, African Scam, Macau Scam dan cabutan bertuah.

Ramli Mohamed menunjukkan poster berkaitan kes komersil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Ramli Mohamed menunjukkan poster berkaitan kes komersil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan. FOTO ASROL AWANG

"Bagi tempoh Januari hingga September lalu, 637 individu ditahan dalam operasi kes jenayah komersil di Pahang membabitkan 542 kes," katanya.

Tangkapan tertinggi membabitkan penipuan pinjaman tidak wujud iaitu 162 suspek, penipuan pembelian secara dalam talian (127) dan penipuan African Scam dan 34 bagi Love Scam.

Bagi mengelak orang ramai terpedaya dengan taktik penjenayah, beliau meminta supaya masyarakat lebih berhati-hati.

"Sebaik-baiknya, apabila menerima panggilan atau mesej daripada individu tidak dikenali, segera rujuk kepada polis.

"Kita tidak mahu orang ramai menjadi mangsa penipuan hingga ada yang mengalami kerugian besar kerana berdasarkan statistik bagi tempoh tiga tahun ini, kes kerugian mangsa meningkat setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 3:58 PM