Ahmad Hasbi


Seremban: Geng samun ini dikesan aktif melakukan pecah rumah teres di sekitar Seremban, Nilai, Jempol dan Kuala Pilah dengan nilai kerugian mencecah lebih RM500,000.

Modus operandi mereka adalah memecah masuk rumah pada lewat malam hingga awal pagi dan bersenjatakan parang serta bertopeng dengan kebanyakan mangsa diikat.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kumpulan ini bagaimanapun tumpas apabila semua suspek ditahan dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Selangor dari 1 hingga 8 Julai lalu.

"Mereka dikatakan bergiat aktif sejak awal 2023. Satu operasi khas iaitu Op Casa dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan sejak awal bulan lalu dan berjaya menahan lapan suspek berusia 23 hingga 36 tahun di Negeri Sembilan dan Selangor," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan samun, curi, khianat, mencederakan manusia, ugutan jenayah dan merusuh menggunakan senjata tajam.

"Kami turut merampas pelbagai barang antaranya lapan telefon bimbit, sebuah peti besi yang dipercayai kes yang dilaporkan media di Kuala Pilah sebelum ini, dua rangka kenderaan yang dibakar, dua kenderaan dan beberapa hasil samun serta peralatan pecah rumah," katanya.

AHMAD Dzaffir (dua kiri) menunjukkan barang bukti pada sidang media tangkapan suspek di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham
AHMAD Dzaffir (dua kiri) menunjukkan barang bukti pada sidang media tangkapan suspek di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham

Ahmad Dzaffir berkata, kumpulan ini agresif dalam melakukan jenayah samun berkumpulan dengan setiap ahli menggunakan parang dan kebanyakan mangsa diikat.

"Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan rumah teres yang mudah dipecah masuk pada waktu malam atau awal pagi dengan memanjat pagar.

"Mereka berpakaian gelap, bersenjata tajam, memakai sarung tangan dan bertopeng bagi mengelak dikenali mangsa," katanya.

Menurutnya, dengan tertangkapnya semua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan 14 kes dengan 10 kes dilaporkan di negeri ini, tiga di Selangor dan satu di Perak yang membabitkan kerugian berjumlah RM550,000.

"Mereka direman selama lima hari bermula 7 hingga 11 Julai. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:57 PM