JENAYAH siber tidak hanya membabitkan kepada kebocoran data peribadi, penggodaman, malah rangkaian sindiket penipuan.
JENAYAH siber tidak hanya membabitkan kepada kebocoran data peribadi, penggodaman, malah rangkaian sindiket penipuan.
Muhammad Saufi Hassan


JENAYAH siber tidak hanya membabitkan kebocoran data peribadi, penggodaman, malah isu yang serius perlu diberi perhatian khusus adalah rangkaian sindiket penipuan.

Ini termasuk jenis penipuan 'Macau Scam,' scam cinta, scam pelaburan dan pinjaman tidak wujud yang merekodkan jumlah kerugian mencecah ratusan juta.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah komersial pada tahun lalu menurun kepada 30,536 kes membabitkan kerugian RM1.73 bilion berbanding 31,490 kes pada 2021 dengan jumlah kerugian RM2.20 bilion.

Untuk statistik kes jenayah penipuan dalam talian, jumlah kes pada tahun lalu mencatat sedikit penurunan iaitu 20,041 kes berbanding 20,701 kes pada tahun 2021.

Bagaimanapun, jumlah kerugian akibat jenayah itu meningkat kepada RM684.5 juta tahun lalu berbanding jumlah kerugian dicatatkan pada 2021 iaitu sebanyak RM560.8 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, faktor insiden ini meningkat kerana orang ramai lebih berminat melakukan pembelian secara dalam talian.

JENIS penipuan Macau Scam, scam cinta, scam pelaburan dan scam pinjaman tidak wujud yang merekodkan jumlah kerugian mencecah ratusan juta.
JENIS penipuan Macau Scam, scam cinta, scam pelaburan dan scam pinjaman tidak wujud yang merekodkan jumlah kerugian mencecah ratusan juta.

"Ini kerana mereka mempunyai masa yang banyak untuk melayari internet serta dengan keupayaan capaian internet yang lebih baik dan memudahkan mereka mengakses hanya menggunakan telefon pintar.

"Mangsa jenayah scam ini juga terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan pekerjaan, ada juga golongan profesional yang sering terperdaya tipu helah scammer terbabit.

"Antara modus operanti yang digunakan dalam usaha memanipulasi mangsa seperti ugutan dan memberi tekanan kepada mangsa," katanya kepada #ITMetro.

Amirudin berkata, situasi ini mengakibatkan mangsa terpaksa mengikut kehendak penipu siber dengan memberi maklumat yang diminta dengan mudah.

Untuk Macau Scam beliau berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa seperti pegawai daripada PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau lain-lain agensi berkaitan.

MANGSA biasanya terperangkap dengan emosi sehingga gagal berfikir secara rasional.
MANGSA biasanya terperangkap dengan emosi sehingga gagal berfikir secara rasional.

"Mangsa dimaklumkan bahawa akaun bank mereka disiasat dan duit mereka akan dibekukan atau hilang, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, mangsa diminta membuka akaun baharu dan memindahkan wang kepada akaun lain.

"Untuk scam cinta pula, scammer memancing cinta menggunakan kata-kata romantis dan janji palsu untuk memperdayakan mangsa dan ia menyasarkan wanita atau lelaki belum berkahwin atau mereka yang memerlukan teman hidup.

"Selepas mangsa terjerat dengan cinta scammer, scammer mula menagih simpati daripada mangsa dan meminta pelbagai pertolongan kewangan daripada mangsa. Kemudian untuk membuktkan cinta mereka, scammer mendakwa bahawa mereka menghantar hadiah mahal, tetapi hadiah itu ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang," katanya.

Pada masa sama, modus operandi untuk scam pelaburan pula, beliau berkata, kegiatan ini membabitkan aktiviti pelaburan wang, saham, mata wang asing atau mata wang bitcoin serta emas.

DR Amirudin
DR Amirudin

Menurutnya, kebiasaannya mangsa melihat iklan pelaburan ini di media sosial atau ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp atau ada juga kegiatan yang berlaku di Telegram.

"Sindiket ini sewenang-wenangnya menggunakan gambar selebriti atau ikon yang dikenali masyarakat sama ada pendakwah, artis atau pempengaruh terkenal kononnya untuk meyakinkan mangsa.

"Sedangkan scammer ini hanya memanipulasi gambar berkenaan, ia boleh jadi sesiapa saja yang menjadi mangsa manipulasi ini," katanya.

Katanya, mangsa yang sedar ditipu rangkaian scammer ini perlu mengemukakan laporan kepada PDRM atau boleh menyemak akaun bank atau nombor telefon menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my atau memuat turun aplikasi 'Semak Penipu CCID'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 7:00 AM