Ahmad Hasbi


Seremban: Polis menumpas Geng Ah Chen yang disyaki terbabit kegiatan sindiket pelaburan tidak wujud selepas menahan enam lelaki warga China, di Seremban 2, di sini, kelmarin.

Difahamkan, sindiket berkenaan menjadikan kawasan perumahan berpagar sebagai markas mereka dan mensasarkan warga China sebagai mangsa dengan tawaran pelaburan yang menguntungkan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil maklumat risikan mengenai kegiatan pelaburan haram, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban membuat serbuan di Seremban 2, kelmarin.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan, seramai enam individu terdiri daripada lelaki warga China dalam lingkungan umur 27 hingga 36 tahun ditahan.

"Semua mereka disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan secara dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan adalah 14 telefon bimbit, seunit komputer, satu komputer riba, satu mesin pencetak, satu router wifi, 14 kad prabayar telco, dua buka nota dan 13 set skrip.

"Hasil siasatan, sindiket ini dikesan beroperasi sejak awal Mac lalu dan menggunakan sebuah rumah berpagar sebagai asrama dan pusat panggilan bagi aktiviti pelaburan atas talian tidak wujud melalui aplikasi sembang Pinduoduo dan QQ.

"Sindiket ini mensasarkan rakyat China sebagai mangsa. Ahli sindiket perlu mendapatkan mangsa untuk melabur dalam pelaburan skim emas dan ubat-ubatan yang kononnya benar-benar wujud di China.

"Bagi menarik perhatian mangsa, jumlah keuntungan yang tinggi ditawarkan bagi pelaburan yang bakal disertai mangsa namun sindiket memberi pelbagai alasan untuk tidak membayar pulangan sebelum lesap," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, semua suspek direman selama empat hari sehingga 24 Mac dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan 120(b) Kanun Keseksaan.

"Suspek juga bakal disiasat mengikut Seksyen 6(1)Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 6:40 PM