KMY dan Luca gabung muzik tari dengan rap dalam lagu Damai dan Tepuk Bantal. - FOTO Aziah Azmee
KMY dan Luca gabung muzik tari dengan rap dalam lagu Damai dan Tepuk Bantal. - FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


PEMBABITAN dalam album Joget Made In Malaysia yang diterbitkan Luncai Emas Sdn Bhd milik Datuk M Nasir dianggap satu penghormatan oleh duo hip hop popular, Kmy Kmo dan LucaSickta.

Menerusi album yang dihasilkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (K-KOMM), mereka tampil dengan dua lagu iaitu Damai dan Tepuk Bantal.

"Syukur kami diberikan kepercayaan ini. Lagu Damai adalah terbitan kami sepenuhnya secara peribadi. Manakala satu lagi lagu yang kami terbitkan ditulis oleh Keon ciptaan Allahyarham Salamah Basiron berjudul Tepuk Bantal.

"Tak dinafikan Damai diinspirasikan daripada lagu M Nasir. Melodinya ciptaan saya sendiri. Sebenarnya saya membesar dengan lagu beliau. A

pa yang buat saya minat dengan M Nasir ialah seni dalam muzik serta pembawakannya yang unik," kata Kmy.

Menurutnya, dari situ dia mendapat idea mencipta lagu menarik ini.

"Saya rasa kita nak buat joget, namun ada irama yang ke arah padang pasir. Sebabnya saya pernah dengar satu lagu beliau iaitu Samrah Mentari.

"Lagunya bercampur dengan irama samrah. Saya belajar dari situ dan terhasil Damai. Apabila rakaman, suara saya pula besar. Bila ikut melodi ala-ala M Nasir, jadi begini keadaannya. Malah, orang dari Luncai Emas pun mula-mula dengar ingat ini lagu nyanyian M Nasir. Saya anggap ini pujian yang baik untuk lagu ini," katanya.

M Nasir yang mendengar lagu ini pada kali pertama turut menyukainya.

"Katanya sedap. Masa mula-mula dengar lagu ini, dia bagi tip dari segi susunan muzik iaitu tambahkan lagi elemen joget.

KMY dan Luca tampilkan gabungan muzik joget dan rap menerusi lagu mereka. - FOTO Aziah Azmee
KMY dan Luca tampilkan gabungan muzik joget dan rap menerusi lagu mereka. - FOTO Aziah Azmee

"Ia seterusnya kekal seperti yang ada. Saya hantar melodi yang dihantar Kmy kepada beliau untuk dengar dan beliau kata okey. Cuma muzik sentiasa dibuat penambahbaikan supaya lebih mantap," kata Luca pula.

Mereka juga menepis dakwaan meniru lagu M Nasir dan menganggap ia sekadar mengambil inspirasi.

"Kami pula sebelum ini terbabit menerusi lagu Zuhud dengan beliau. Kami membesar dengan muzik ciptaannya. Nak dikatakan meniru, kita tahu piawaian M Nasir sangat ketat.

"Beliau akan cakap apa yang perlu supaya tambah lagi sedap. Saya rasa tiada isu meniru. Sebelum ini pun kami dikata meniru dalam 7 Nasihat. Selepas itu tiada isu lagi.

"Misi dan visi kami dalam industri muzik ialah eksperimental. Lagu lama, muzik etnik Malaysia macam harta muzik di Malaysia, kita baharukan untuk dikenalkan kepada generasi baharu. Itu hasilnya," katanya.

Tidak keterlaluan dikatakan Kmy Kmo dan LucaSickta adalah rapper pertama yang menghasilkan lagu joget rap.

"Terima kasih buat M Nasir dan Luncai Emas kerana beri kepercayaan kepada kami. Sangat terharu rasanya. Kalau dikata perosak lagu, saya lebih sedia terima orang komen kita buat lagu kita sendiri dan kita ubah suai untuk modenkannya, dari kita tiru muzik dari luar yang orang agung-agungkan sekarang.

"Saya lagi rela terima orang komen barang kita daripada orang komen kita buat barang orang lain," kata Kmy.

Menjawab persoalan sama ada mereka anak emas M Nasir, Kmy dan Luca berkata, mereka adalah penulis lirik eksklusif Luncai Emas.

"Jadi, rasanya agak normal perkara ini berlaku," katanya.

Joget Made In Malaysia mengandungi 10 lagu terbaharu bernuansa irama joget yang dinyanyikan penyanyi baharu dan artis muda tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 6:00 AM