KMY Kmo curi tumpuan ketika merakamkan lagu bersama penyanyi ikonik.
KMY Kmo curi tumpuan ketika merakamkan lagu bersama penyanyi ikonik.
Nurul Sabrina Jamali


KUALA Lumpur: Selepas nyanyian kolaborasi bersama penyanyi ikonik, Kmy Kmo akhirnya tampil merakamkan semula single berjudul 21A dengan susunan muzik terkini seiring peredaran zaman.

Kmy Kmo atau nama sebenar Lukmanul Hakim, 34, berkata mesej disampaikan dalam single itu menceritakan kesusahan terpaksa dilalui untuk menempa nama dalam pasaran muzik hip hop.

Tambahnya, satu kepuasan besar buat dirinya apabila single solo mengisahkan perjalanan peribadinya mendapat tempat di hati pendengar tanah air.

"Sebagai anak jati Kuantan, Pahang yang meminati muzik hip hop, saya mengakui, perjalanan rakaman single ini adalah suatu proses panjang dan tidak mudah untuk dilalui.

"Jika dahulu, saya perlu yakinkan bakat kecil yang saya miliki ini untuk menambat hati pendengar selain cabaran menembusi pasaran perdana," katanya.

Menurut Kmy segala pengalaman dilalui menjadi cerita indah yang tidak mampu dilupakan dan bersyukur dengan apa dimiliki sekarang.

Ditanya mengenai ketiadaan rakan baiknya, Luca Sickta, selepas pada penampilan sebelum ini mereka sering bersama, Kmy memberitahu dia bergerak solo untuk merakamkan lagu 21A itu.

"Saya bergerak solo menerusi lagu ini kerana membawa kisah peribadi sendiri mengenai perjalanan daripada awal pembabitan dalam dunia muzik sehingga kini," katanya.

Menariknya, single hasil ciptaannya itu turut berjaya memasuki tiga playlist di platform digital Spotify iaitu Border Beats, Made in Malaysia dan Pop Terkini dalam tempoh sehari selepas dilancarkan.

Mengulas lanjut mengenai lagu itu, sepanjang penghasilan dia tidak berdepan sebarang kesukaran disebabkan lagu dan liriknya bersifat santai serta luahan hati peribadinya.

"Bagi saya, tiada tekanan dalam penghasilan lagu ini berbanding lagu-lagu yang pernah saya cipta sebelum ini.

KMY Kmo rancang projek solo.
KMY Kmo rancang projek solo.

"Saya sedar, masih ramai bakat muda yang kurang keyakinan diri untuk memperkenalkan bakat mereka disebabkan anasir negatif yang mereka dengar dalam dunia hiburan," katanya.

Malah Kmy berkata, sepanjang tempoh rakaman dia sentiasa mengkaji respon peminat terhadap lagu-lagu solo nyanyiannya yang pernah dimuat naik di laman Youtube sebelum ini.

"Lagu ini pertama kali dirakam pada tahun 2016 untuk album solo saya, namun ia masih belum dilancarkan dan saya hanya muat naik di laman YouTube.

"Saya merakamkan lagu ini bersama sahabat saya, Fareed pada tahun 2016 dan rakaman kedua dibuat dengan versi baharu bersama Luca Sickta sekitar tahun 2022," katanya.

Tambahnya, tujuan rakaman semula lagu itu kerana dia mempunyai perancangan dan strategi yang berbeza dan gemar mendengar maklum balas jujur daripada pendengar.

"Pendengar akan menilai lagu yang mereka suka dan, daripada situlah saya tahu kekuatan setiap lagu yang dihasilkan.

"Melihat respon positif daripada peminat untuk lagu ini, saya nekad merakam semula lagu ini dengan versi baharu yang lebih tersusun," katanya.

Terdahulu, Kmy bersama rakan duonya, Luca Sickta pernah mengeluarkan single dengan penyanyi ikonik, Datuk M Nasir menerusi lagu Zuhud, Datuk Seri Siti Nurhaliza (7 Nasihat) dan Datuk Jamal Abdillah (Neraca).

Mereka turut tampil berganding dengan penyanyi pop rock popular tanah air, Hazaman menerusi lagu berjudul Makuta pada 2022.

Lagu Makuta memberi satu energi luar biasa dan meraih komen positif daripada pendengar kerana liriknya yang mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi dalam kehidupan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 6:30 AM