TRIO Kmy Kmo, Luca Sickta, dan Yonnyboii teruskan dinamik kerjasama mereka menerusi Perlu.
TRIO Kmy Kmo, Luca Sickta, dan Yonnyboii teruskan dinamik kerjasama mereka menerusi Perlu.
Georgie Joseph

KETIGA-TIGA nama bintang hip hop ini sudah tidak asing lagi di dalam kalangan industri muzik Malaysia. Sejak membuat kemunculan beberapa tahun yang lalu, nama mereka kerap menjadi sebutan atas penghasilan lagu-lagu hit.

Karya yang pernah mereka keluarkan bahkan turut membabitkan nama-nama besar industri muzik tempatan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Sufian Suhaimi.

Meneruskan dinamik itu, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Yonnyboii bergabung memperkenalkan karya istimewa berjudul 'Perlu'. Melodi dan lirik diilhamkan oleh mereka sendiri selaku komposer dan penulis.

"Saya membayangkan seolah-olah saya berbual dengan diri dari masa lalu dan sedang cuba menyelamatkannya daripada masalah yang mengelilinginya.

"Saya ingin sampaikan bahawa kita harus selalu menikmati hari ini dan jangan ragu-ragu walau apa pun yang bakal tiba di masa hadapan," kata Yonnyboii.

Berbicara mengenai proses penciptaan dan penerbitan lagu, Luca Sickta menjelaskan demo versi pertama Perlu sebenarnya sudah dirakam pada 2021 oleh Yonnyboii.

Bagaimanapun, ia digubah semula kepada versi lebih baharu untuk memastikan ada kesinambungan antara mereka. Luca akui secara peribadi, dia berjaya keluar dari zon selesanya dalam Perlu.

"Proses gubahan muzik memakan masa dua tahun dan akhirnya siap di penghujung 2023 selepas selesai proses rakaman bersama Kmy Kmo.

Untuk lagu ini juga saya dan Kmy keluar dari zon selesa kami. Kami bayangkan kami sendiri di dunia Yonnyboii untuk mendapat keserasian.

"Walaupun memakan masa agak lama dari biasa namun dengan kesefahaman antara kami ianya mampu dibina kerana initipati utamanya adalah memudahkan dan menyempurnakan karya kali ini," jelas Luca.

Semestinya lagu ini turut disertakan dengan sebuah video muzik yang cukup menarik. Sekali gus, ia menjadi aspek penting menghangatkan lagi kehadiran karya ini.

"Konsep untuk video muzik lagu ini lebih ke arah penonjolan perspektif dua dunia berbeza dari setiap karakter terbabit yang ingin menceritakan perjalanan masing-masing. Ia mengisahkan kita semua yang sentiasa hidup dalam dua watak yang berbeza.

"Bila setiap kali kita jatuh dengan watak negatif, watak positif hadir untuk bantu membakar semangat kita semula supaya terus yakin dalam setiap hasil usaha," kata Kmy.

Yang pasti, mereka bertiga akan terus rancak menghasilkan banyak lagi karya untuk dikeluarkan. Mereka berharap supaya semuanya sempat dilancarkan tahun ini.

"Apa yang saya harapkan semoga lagu Perlu dapat diterima ramai khususnya berkat sokongan kuat pendengar yang sentiasa menyokong karya kami. Semoga pendengar dapat menghayati setiap bait-bait lirik yang sarat dengan nilai murni untuk dijadikan pelita hidup," kata Kmy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:25 AM