SUFFIAN rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kmy dan Luca.
SUFFIAN rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kmy dan Luca.
Najiy Jefri


BAGI yang mengikuti perkembangan seni dua penyanyi rap popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta pasti mengenali 'trademark' mereka yang sering bekerjasama dengan penyanyi ternama.

Antaranya duet bersama penyanyi hebat, Datuk M Nasir menerusi lagu Zuhud. Kemudian Kmy Kmo dan Luca berjaya memikat hati penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu 7 Nasihat.

Bukan hanya itu, dua penyanyi hebat ini juga berjaya menjalin kerjasama dengan Datuk Jamal Abdillah (Neraca) dan Hazama (Makuta).

Apa yang menyeronokkan, semua karya itu diterima baik pendengar sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Terbaharu, Kmy Kmo dan Luca Sickta menghadiahkan peminat dengan buah tangan lagu genre tradisional berjudul Budi bekerjasama dengan Sufian Suhaimi.

Menurut Kmy Kmo, pemilihan Sufian dibuat kerana mereka suka bereksperimen dengan individu yang memiliki genre muzik berbeza daripada karakter asal penyanyi itu.

"Macam sebelum ini kami bekerjasama dengan Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah yang kami masukkan muzik hip hop dalam nyanyian mereka. Kali ini, macam kita semua tahu, Sufian adalah penyanyi yang sering membawakan lagu bergenre balada.

"Jadi, saya dan Luca merancang untuk menukar muzik Sufian agar peminat dan pencinta muzik tanah air boleh lihat sisi berbeza Sufian.

BUDI kini sudah berjaya meraih lebih 1 juta tontonan YouTube.
BUDI kini sudah berjaya meraih lebih 1 juta tontonan YouTube.

"Sebenarnya kami dah berkawan lama, jadi dia pun pendengar lagu rap juga. Pada masa sama, dia pun ada ilmu dan skil nyanyian lagu berentak tradisional. Sebab itulah kami memilih Sufian untuk memberi kelainan kepada dirinya," katanya.

Sementara itu, Luca Sickta berkata, kelainan untuk lagu Budi hasil kerjasama Def Jam Recordings Malaysia dan Rusa Music ini adalah komposisi melodi bahagian korus dihasilkan oleh dirinya.

"Proses menghasilkan lagu ini lancar. Kalau sebelum ini Sufian memang banyak menyanyikan lagu sedih, tapi kali ini lagu 'happy'. Jadi, ada kejadian kelakar ketika proses rakaman apabila saya paksa dia menyanyi sambil senyum untuk mendapatkan 'mood' lagu. Jadi, sepanjang rakaman dia senyum saja," katanya.

Menurut Luca, penulisan lagu Budi banyak diambil daripada celoteh seloka.

"Lagu ini berentak tradisional dan ada unsur lawak. Jadi, kami kena pakai cara penulisan seloka. Saya ambil sedikit sebanyak contoh daripada lagu Allahyarham Tan Sri S M Salim, M Nasir serta Allahyarham Pak Ngah. Daripada situlah saya dapat idea penulisan lagu Budi ini," katanya.

Berkongsi mengenai video muzik (MV) lagu Budi, Luca berkata, mereka memilih konsep 'old school'.

"Dalam MV ini kami sengaja memilih konsep dulu-dulu atau ala Seniman Bujang Lapok dan Nujum Pak Belalang. Hasilnya seperti yang ditonton pada MV.

KMY dan Luca berkerjasama dengan Sufian menerusi lagu Budi.
KMY dan Luca berkerjasama dengan Sufian menerusi lagu Budi.

"Saya berharap, semua peminat boleh 'enjoy the music' dan ambil iktibar daripada lagu ini. Bukan saja berhibur, tapi cuba menghayati mesej dan pengajaran disampaikan menerusi liriknya," katanya.

Dalam pada itu, Sufian menyifatkan lagu Budi adalah unik dan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Lagu Budi ini unik dan istimewa sebab ia ada elemen tradisional walaupun perkembangan industri muzik ketika ini lebih kepada genre hip hop. Jadi, ia bagus untuk generasi muda mengenali asal usul muzik Malaysia.

"Berpeluang bekerjasama dengan dua penyanyi ini, saya rasa teruja kerana saya sudah lama mengikuti perkembangan seni Kmy dan Luca.

"Memang ada permintaan untuk saya bergandingan dengan mereka kerana ramai yang mendakwa wajah saya dan Luca hampir sama," katanya.

Katanya, dia berharap Budi yang dilancarkan sejak beberapa minggu lalu terus mendapat sokongan peminat dan pencinta muzik tanah air.

"Mereka ini nampak saja serius tapi kelakar, bekerja dengan mereka juga sangat senang dan profesional. Saya harap lagu Budi dapat diterima oleh peminat muzik di Malaysia dan layak mara ke pentas muzik yang berprestij," katanya.

Budi yang sudah berjaya meraih satu juta tontonan di YouTube turut berjaya menduduki Carta Era 40 di tangga ke-19 dan Carta Suria Top 40 di tangga ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 6:25 AM