Ridzuan Abdul Rahman

RAMAI sedia maklum karakter Datuk M Nasir yang dikenali lantang dalam berkata-kata.

Dalam satu kenyataan, beliau pernah mengkritik industri muzik tempatan apabila mengatakan lagu masa kini terlalu mengejar pendengar sehingga kurang kreatif dan tiada lagi eksperimen.

Bagaimanapun, kesudian figura muzik terkenal ini untuk bekerjasama dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi lagu Zuhud membuktikan ada sesuatu yang istimewa pada kumpulan ini.

Mereka mula dikenali peminat menerusi lagu Gong Nekara yang dikatakan ditujukan kepada rapper terkenal Altimet.

“Syukur kerana M Nasir sudi bekerjasama dengan kami. Ia sekali gus membuktikan bahawa lagu ini mempunyai nilai estetika tersendiri.

“Kami bereksperimen dalam muzik untuk membuktikan kami antara pejuang seni rap intelektual Melayu. Menerusi konsep ritma atas puisi, karya ciptaan kami sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya,” kata mereka.

Zuhud adalah ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta bersama M Nasir.

Mendapat sentuhan Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf selaku penerbit rakaman ini menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisional Melayu seperti serunai dan gamelan yang sememangnya mampu menarik perhatian pendengar.

DATUK M Nasir
DATUK M Nasir

“Karya kami bukan sekadar memberikan sajian untuk halwa telinga, malah ia digunakan sebagai wadah merangsang minda pendengar atau lidah kritikan sosial.

“Liriknya bak puisi yang dilisankan secara rap oleh kami berdua dan disyairkan dengan penuh jiwa oleh M Nasir.

“Zuhud sebuah karya yang muziknya mampu menghantui halwa telinga pendengar, manakala senikatanya mampu menjentik minda pendengar,” katanya.

Menurutnya, judul dan lirik lagu ini mengangkat sebuah konsep yang sinonim dalam Islam, Zuhud, iaitu untuk tidak meletakkan kepentingan kepada dunia semata-mata tetapi lebih mengutamakan alam akhirat dalam kehidupan sehari-hari.

Mengulas mengenai lagu ini, Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkata, mereka cuba menerapkan mesej tersirat dan tersurat menerusi karya ini.

“Lagu ini adalah pesanan kami kepada semua pendengar untuk tidak angkuh dengan apa yang kita miliki di dunia kerana itu semua hanya bersifat sementara.

“Berbaliklah kepada matlamat utama kita iaitu mencapai bahagia di alam akhirat. Saya dan Luca bersyukur kerana lirik Zuhud yang ditulis sepenuhnya oleh kami ini diterima baik M Nasir. Ia satu penghormatan buat kami kerana berpeluang bekerjasama dengan lagenda muzik terkenal tanah air,” katanya.

Video muzik rasmi Zuhud kini dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia sebagai pendamping visual kepada lagu ini.

Menampilkan pelakon Azri Iskandar, ia mampu mengundang keinsafan kepada penonton apabila memaparkan terjemahan visual maksud lirik lagu ini.

Video muzik arahan Yussuf Yunus dari produksi Cinemalaya Studios Sdn Bhd ini sudah mencatat hampir 700,000 tontonan sejak dilancarkan pada 20 Disember lalu.

Single terbitan Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di semua medium digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:05 AM