Sebahagian sangkar kucing dalam rumah wanita itu. FOTO AsiaOne, Shin Min Daily News.
Sebahagian sangkar kucing dalam rumah wanita itu. FOTO AsiaOne, Shin Min Daily News.
Agensi

Singapura: Sejak lebih sedekad lalu penghuni HDB Flat Jalan Yinshun di sini tidak pernah membuka tingkap rumah gara-gara bau busuk najis 50 kucing.

Semua kucing itu dipelihara seorang penghuni wanita di tingkat empat kediaman berkenaan, menurut Asiaone.

Penduduk dikenali He, 66, berkata, masalah bau busuk daripada haiwan peliharaan itu sudah berlarutan sejak 2007 dan banyak aduan dibuat, tetapi tiada tindakan drastik yang diambil.

"Ia sangat teruk sehingga anak perempuan saya terpaksa berpindah kerana tidak tahan dengan baunya," katanya.

Seorang lagi jiran, Huang yang takutkan kucing berkata, kucing wanita itu pernah menceroboh rumahnya sebanyak dua kali.

"Saya terpaksa menghubungi suami supaya pulang ke rumah untuk membawa keluar kucing itu kerana saya takut untuk memegangnya," katanya.

Beberapa penduduk lain pula memaklumkan mereka menghubungi majlis bandaran, tetapi keadaan tidak bertambah baik.

Selasa lalu, ketika kunjungan wartawan, pemilik kucing, Hasmawati, 54, berkata, dia bermula dengan memelihara seekor kucing jalanan yang mengekorinya pulang ke rumah, 10 tahun lalu.

Wanita itu berkata dia kemudian mengambil seekor lagi kucing dan ia mula membiak sebelum ahli keluarganya memberi kucing mereka untuk dipelihara.

"Kini asa ada lebih 50 ekor," kata Hasmawati.

Sementara itu, pengurusan HDB berkata, mereka menerima maklum balas mengenai situasi Hasmawati pada Mei lalu dan bekerjasama dengan Perkhidmatan Veterinar dan Haiwan (AVS) serta Komuniti Kebajikan Kucing (CWS) untuk menyelesaikan masalah terbabit.

"Kami bekerjasama menasihatinya supaya mencari rumah alternatif lain untuk kucing-kucing itu.

"Agensi dan CWS turut memeriksa memeriksa kucing untuk menilai kesihatan mereka, selain membantu penempatan semula haiwan berkenaan serta memberi sokongan yang diperlukan," katanya.

Menurutnya, difahamkan kira-kira 30 kucing sudah dikeluarkan dari rumah itu, minggu lalu.

HDB juga berkata, kes itu bukan pertama kali berlaku dan tindakan mahkamah pernah diambil ke atas pemilik rumah yang gagal menempatkan semula 13 kucing hingga didenda $11,300 (RM35798.40).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 6:30 AM