TIDAK kisah berhabis wang ringgit untuk kucing jalanan yang dibela.
TIDAK kisah berhabis wang ringgit untuk kucing jalanan yang dibela.
Hidayatidayu Razali


SIMPATI melihat kucing jalanan terbiar mendorong ibu kepada tiga anak untuk memelihara haiwan itu di rumahnya di Kampung Seri Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan.

Wanita terbabit, Zalina Dollah, 52, juga sanggup memungut kucing jalanan untuk dijaga dengan rapi termasuk memberi makan dan divaksinasi.

Sehingga kini lebih 100 kucing dijaga Zalina sebelum diberi kepada orang ramai yang mahu menjaga haiwan berkenaan.

Zalina berkata, sebenarnya bukan mudah untuk memberi haiwan kesayangannya kepada orang lain kerana dirinya sukar berpisah dengan haiwan itu.

Kata Zalina, dia memelihara kucing sejak lebih 30 tahun akan memberi syarat kepada penjaga baharu supaya menjaga haiwan yang diberinya dengan baik.

Dia mengakui syarat itu penting kerana dia tidak mahu haiwan kesayangan diseksa atau jatuh sakit disebabkan tidak dijaga dengan baik.

SEBAHAGIAN daripada kucing yang dipelihara Zalina di rumahnya.
SEBAHAGIAN daripada kucing yang dipelihara Zalina di rumahnya.

"Pada awalnya, saya memelihara haiwan ini kerana bersimpati melihat kucing jalanan yang terbiar tanpa dijaga. Saya mula mengutip kucing jalanan untuk dipelihara termasuk diberi makan dan divaksin.

"Jika dahulu lebih 20 kucing yang saya pelihara, namun kini hanya tinggal 14 ekor dalam jagaan selepas saya menyerahkan kepada beberapa individu yang berminat untuk memelihara haiwan itu.

"Namun, jika terjumpa kucing terbiar berdekatan rumah, saya akan membawa balik untuk dijaga kerana seluruh ahli keluarga termasuk suami dan tiga anak juga menyayangi haiwan ini.

ZALINA (kanan) dan anaknya, Nor Farah.
ZALINA (kanan) dan anaknya, Nor Farah.

"Kami anggap semua kucing itu sebagai ahli keluarga kerana keletahnya yang manja dan menghiburkan hati," katanya di rumahnya.

Menurut Zalina, untuk memastikan kucing itu selesa, dia membeli beberapa sangkar yang diletakkan di dalam dan luar rumah.

Katanya, sangkar itu diletakkan di garaj kereta dan satu ruang dalam rumah untuk memastikan dia sekeluarga mudah menguruskan haiwan berkenaan.

"Perkara ini dilakukan bagi memudahkan saya dan keluarga untuk mencuci sangkar kucing sekerap yang mungkin bagi memastikan persekitarannya bersih seterusnya memberi keselesaan kepada kami.

"Sebagai pemilik kucing, saya perlu rajin terutama membersih najis haiwan itu setiap hari, sekali gus dapat menjaga kebersihan rumah," katanya.

KUCING yang dipelihara diletakkan dalam sangkar.
KUCING yang dipelihara diletakkan dalam sangkar.

Jelasnya, walaupun pada asalnya kucing terbiar itu liar, namun dia mengajar haiwan itu supaya berdisiplin termasuk membuang air besar dalam pasir khas dan di tandas

"Semua kucing yang dijaga, saya akan ajar mereka untuk berdisiplin kerana haiwan itu mudah diajar dan mendengar kata.

"Kucing juga macam kita, ada hati dan perasaan. Jika kita membelainya, haiwan itu akan menjadi rapat dengan kita," katanya.

Suri rumah itu berkata, dia menghabiskan lebih RM500 sebulan untuk membeli makanan kucing dan membawa haiwan itu ke klinik untuk rawatan.

Katanya, dia sanggup berhabis wang untuk memastikan semua kucing kesayangannya sihat dan dapat menjalani hidup sempurna.

"Saya pantang tengok kucing sakit kerana akan terus membawa mereka untuk mendapatkan rawatan. Saya sekeluarga tidak kisah walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi.

"Semua kucing saya sayang, namun kucing yang diberi nama Tori yang berusia lebih setahun paling kami sayangi kerana sifatnya yang sangat manja," katanya.

Zalina berkata, dia bersyukur kerana suami, Zulkifli Che Kob, 56, dan tiga anaknya juga menyayangi kucing.

Katanya, anak sulungnya, Mohd Faris Zulkifli, 28, pernah beberapa kali membawa balik kucing terbiar dengan meletakkan haiwan itu dalam beg sekolah.

"Anak saya pantang tengok kucing terbiar di tepi jalan kerana dia akan membawa balik untuk dijaga oleh kami.

"Disebabkan terlalu sayangkan kucing, kami sanggup tidur bersama kucing pada sebelah malam," katanya yang berharap orang ramai tidak membuang kucing di jalanan kerana ia terdedah kepada bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:00 AM