Noor Hidayah Tanzizi

Klang: "Saya sayang semua 41 ekor kucing yang dipelihara tetapi Bujang paling istimewa, dilayan dan disayangi seperti anak sendiri sehingga ia kuat merajuk apabila saya melayan kucing lain di depannya," kata Siti Rohana Abdul Aziz.

Ahli perniagaan berusia 42 tahun itu menjaga 41 kucing termasuk baka kampung dan yang diselamatkan di jalanan sejak tiga tahun lalu hingga sanggup menyewa sebuah kedai yang dijadikan rumah kucingnya.

Kisah Siti Rohana mendapat perhatian di media sosial kerana kerap berkongsi video mengenai kucing peliharaannya terutama kucing jantan baka kampung dinamakan Bujang yang sensitif dan kerap merajuk apabila melayan kucing lain.

Siti Rohana berkata, Bujang asalnya adalah kucing jalanan, namun sangat manja dengan semua ahli keluarganya sebelum mereka mengambil keputusan memelihara kucing itu untuk dijadikan teman kepada kucing betinanya.

Menurutnya, hanya Bujang saja dibawa tinggal di rumahnya, manakala 40 kucing lain diletakkan di rumah kucing di Sungai Udang di sini, dengan dia turut mengupah empat pekerja untuk membantu menguruskan rumah berkenaan.

"Hari pertama dijaga Bujang sudah mahu tidur bersama di dalam bilik selain makan juga mahu disuap dan perlu di dukung ke tandas untuk membuang, malah saya akan bawa ia ke kedai bersama dan kadang-kadang ke rumah kucing.

"Bujang sangat manja dan dia pantang nampak saya melayan kucing lain atau kita tak layannya ia akan merajuk sembamkan mukanya di bantal, menghadap tingkap, tak bagi pegang tangannya selain tidak menyahut bila dipanggil.

"Biasanya Bujang merajuk tak lama...tak sampai 10 minit dia sudah mahu melayan kita semula dan paling lama seharian dia merajuk menghadap tingkap kerana suami yang baru balik rumah daripada kerja luar kawasan tidak melayan dan menegurnya ketika itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bujang, kucing jalanan yang dipelihara Siti Rohana yang sangat manja dan kuat merajuk apabila wanita itu melayan kucing lain. FOTO IHSAN SITI ROHANA ABDUL AZIZ
Bujang, kucing jalanan yang dipelihara Siti Rohana yang sangat manja dan kuat merajuk apabila wanita itu melayan kucing lain. FOTO IHSAN SITI ROHANA ABDUL AZIZ

Bercerita lanjut, ibu kepada empat anak itu berkata, mereka sekeluarga menyayangi kucing dan baginya rezeki dalam perniagaan diusahakan iaitu menjual aksesori, produk penjagaan wajah dan makanan tambahan semakin murah sejak memelihara haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW.

Katanya, dia mula menjaga empat kucing termasuk Bujang sebelum mengambil beberapa kucing jalanan yang dibuang dan sakit untuk dipelihara dan menempatkannya di kedainya sebelum menyewa premis baharu dijadikan rumah haiwan itu.

"Sebelum ini saya ada beli beberapa kucing berbaka juga tetapi banyak kucing saya mati kerana virus.

"Saya tempatkan 40 kucing di rumah kucing dan buat juga 'boarding' untuk kucing lain dan jual makanan kucing sebagai sampingan.

"Semua ini ada kos tersendiri seperti makanan, ubat dan pasir kucing tetapi Alhamdulillah setakat ini semuanya dapat diusahakan sendiri dan semua kucing cukup makan. Saya juga membahasakan diri sebagai mama dengan kucing peliharaan.

"Sejak saya menjaga kucing ada rezeki yang Allah SWT beri untuk perniagaan saya dan duit itu juga saya guna untuk membiayai kucing. Saya ikhlas menjaga semuanya dan percaya asbab kucing juga bawa rezeki untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 2:34 PM