NORHAEDA. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NORHAEDA. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kasih sayangnya terhadap kucing tidak berbelah bahagi, malah seorang wanita sanggup mengutip haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu yang dijumpai di tepi jalan untuk dipelihara seperti darah daging sendiri.

Norhaeda Azahari, 40, turut membina sangkar khas untuk anak bulunya yang kini mencecah 60 ekor, selain semuanya dipastikan sihat dan bersih seperti kucing peliharaan lain.

Dia juga membelanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk vaksin, makanan dan keperluan anak bulu itu yang ditatang bagai minyak yang penuh.

Semua kucing berkenaan diberi nama istimewa, sesuai dengan karakter masing-masing seperti Ganu, Ketok, King, Tijah, Oyen, Jericho dan Tombak.

Norhaeda yang mengusahakan perniagaan dobi sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kucing makhluk istimewa ciptaan Allah yang mempunyai perasaan dan ingin hidup seperti manusia.

NORHAEDA menyikat bulu kucing peliharaan di rumahnya di Kampung Padang Bongor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NORHAEDA menyikat bulu kucing peliharaan di rumahnya di Kampung Padang Bongor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Namun, tidak ramai sanggup pelihara kucing terbiar ini kerana ada yang geli melihat mereka, ada juga takut kerana anggap ia berpenyakit, mudah dijangkiti virus, busuk serta kotor.

“Sebaliknya, saya melihat kucing sebegini seperti manusia yang perlu dikasihi. Ia perlukan perlindungan dan peluang untuk hidup dengan baik.

“Sebab itu saya ambil kucing jalanan sejak 2014. Saya nak lindungi dan sediakan ‘rumah’ untuk mereka yang dibina adik saya (Mohd Feroz Khan, 34),” katanya di rumahnya di Kampung Padang Bongor, semalam.

Menurutnya, rumah kucingnya diperbuat daripada kayu terpakai dan dipastikan ada ruang tidur serta bermain yang cukup.

Katanya, ketika mula-mula ambil kucing jalanan, dia tidak sediakan sangkar dan 20 ekor dibiar bebas di belakang rumahnya.

“Malangnya seekor kucing dinamakan Mann mati dibelit ular sawa. Sejak itu saya buat sangkar dan pagar bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

SANGKAR khas tempat kucing tidur dan bermain. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SANGKAR khas tempat kucing tidur dan bermain. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dia dan Mohd Feroz memastikan kebersihan rumah kucing itu dengan dicuci dua kali sehari bagi mengelakkan berbau busuk.

Kucing itu juga dimandikan secara berkala dengan memperuntukkan lima jam untuk memandikan semua 60 ekor.

“Antara menu kegemaran kucing saya adalah air kelapa muda dan susu kambing, malah ada ketikanya saya sediakan ayam rebus tapi ini seminggu sekali saja kerana ia menu istimewa.

“Meskipun kos memelihara kucing tinggi, namun saya percaya haiwan ini pembawa rezeki. Adik juga banyak bantu dan pastikan semua kucing berada dalam sangkar sebelum senja,” katanya.

MOHD Feroz bersama kucing peliharaannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Feroz bersama kucing peliharaannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 5:50 AM