AWAL redha, percaya kepada rezeki, qada dan qadar.
AWAL redha, percaya kepada rezeki, qada dan qadar.
Sudirman Mohd Tahir


NAMA pengacara popular Awal Ashaari cukup sinonim dengan program Melodi yang ditayangkan di TV3 sebelum ini.

Malah, Awal, 40, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari menjadi pengacara paling lama yang mengendalikan program itu selama lapan tahun iaitu dari 2010 hingga 2021.

Namun, Julai lalu Awal akur apabila khidmatnya bersama rakan pengacara juga pelakon Janna Nick ditamatkan dan digantikan dengan hos baharu iaitu pelakon, Nabila Huda.

Pun begitu, penamatan kontrak berkenaan bukanlah titik noktah kepada kerjaya yang sudah mengangkat namanya dalam industri hiburan tanah air, sebaliknya Awal yang juga bapa kepada dua cahaya mata perempuan bersyukur apabila terus dihujani tawaran pengacaraan.

Biarpun terbit rasa sedih dan ralat, Awal menyifatkan apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya selain menganggap apa yang berlaku selepas itu adalah rezeki buat dirinya.

Selepas tidak bersama Melodi, Awal ditawarkan mengacara beberapa program TV termasuk menjadi juri pertandingan realiti membabitkan usahawan wanita.

Program lain antaranya sebuah program realiti format baharu di saluran Astro dan program bual bicara Spotlight yang ditayangkan di saluran Facebook Finas.

"Sebelum ini diakui memang pada awalnya saya berasa ralat sebab tak sempat nak merancang hala tuju kerjaya apatah lagi dilepaskan dari rancangan kesayangan saya secara mengejut tanpa sebarang perbincangan. Namun saya percaya kepada rezeki, qada dan qadar. Saya reda dan sikit pun tak ambil hati.

"Betul kata orang, kalau memang ada rezeki kita takkan ke mana. Alhamdulillah, aturan dan ketentuan Allah sangat cantik. Saya bersyukur apabila selepas saja tidak bersama Melodi banyak tawaran diterima. Bagi saya ini adalah hikmah di sebalik apa yang berlaku dan mungkin juga rezeki anak kedua saya," katanya.

Selain itu, Awal juga bertuah apabila dilantik menjadi duta jenama Carsome, KFC dan kempen Xiaomi selain kontrak bersama Secret Recipe disambung untuk tahun kelima.

AWAL sentiasa berusaha perbaiki diri, mahu rakan-rakan tidak putus asa.
AWAL sentiasa berusaha perbaiki diri, mahu rakan-rakan tidak putus asa.

Malah, Awal dan isterinya juga pelakon popular, Scha Alyahya menjadi wajah kegemaran beberapa jenama antarabangsa untuk bekerjasama dengan mereka dalam menjayakan kempen jenama mereka.

Selain itu, dikhabarkan mereka akan tampil bersama anak kedua mereka, Lila Amina yang juga duta paling muda untuk jenama antarabangsa yang berpusat di Eropah.

Ditanyakan mengenai perkara itu, Awal berkata, nantikan pengumumannya dalam waktu terdekat.

"Terima kasih pada pihak yang masih terus memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili produk dan jenama mereka. Ini juga dikira rezeki buat saya dan keluarga. Apatah lagi dalam keadaan semasa negara kini, mereka masih melabur untuk menggunakan khidmat selebriti.

"Bagi saya ini bukan saja untuk profil kerjaya semata-mata, tapi lebih pada tanggungjawab yang sudah diberikan. Pendek kata, ini juga rezeki PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Jaga sensitiviti

Dalam pada industri dibanjiri pelawak menjadi pengacara, nama Awal masih kekal relevan dan menjadi pilihan stesen TV.

Biarpun wujud persaingan, namun dalam soal kredibiliti tidak ada siapa boleh menyangkal kemampuan dimiliki pelakon filem Syurga Cinta ini.

AWAL berterima kasih pada pihak yang masih terus memberi kepercayaan kepadanya.
AWAL berterima kasih pada pihak yang masih terus memberi kepercayaan kepadanya.

Apatah lagi, baru-baru ini hangat membabitkan pengacara yang dikatakan kurang sensitif terhadap sesuatu itu yang tidak sepatutnya dilontarkan di kaca TV.

"Saya sebolehnya tak nak sentuh isu ini, sebab sebelum ini ada salah faham mengenai kenyataan yang saya beri sehinggakan ada segelintir pihak yang terasa dan mengatakan yang saya tak dapat nak menerima peredaran zaman dan kejatuhan. Tapi bila ia dibiarkan, status kerjaya pengacara terpalit sama.

"Dalam bidang pengacaraan ini saya juga bermula dari bawah. Saya masuk industri pun bermula dari kosong. Saya tidak terus pandai dan berada pada tahap sekarang. Saya juga melalui proses panjang macam orang lain.

"Namun, disebabkan minat dalam bidang ini dan mata pencarian saya, kita berusaha untuk memperbaiki dan memajukan diri. Bagi saya, setiap hari dan apa saja tawaran kerja diberikan adalah proses pembelajaran buat saya. Ditambah pula, ketika itu saya bekerja dengan ramai orang hebat. Jadi, saya ambil peluang itu untuk bertanya dan belajar daripada mereka.

"Rancangan saya pernah dihentikan serta-merta, digam oleh stesen TV dan sebagainya, tapi semua itu adalah proses yang mematangkan kita sebagai seorang pengacara.

Apabila sudah melalui fasa itu, sedikit demi sedikit saya membina jenama sendiri. Paling penting menjadi pengacara ini perlu ada ilmu dan pengetahuan mendalam. Tidak kiralah dalam apa juga perkara. Kita kena ambil tahu semua. Dari situ kita boleh praktikkan dalam diri. Insya-Allah, perkara yang tidak sepatutnya boleh dielakkan," katanya.

Awal turut berpesan kepada rakan pengacara yang berdepan ujian agar jangan berputus asa.

"Buat rakan pengacara yang menghadapi ujian, jangan berputus asa dan jadikan apa yang berlaku sebagai pembakar semangat untuk kita lebih berhati hati pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 6:20 AM