AZIQ dan Ain kini bergabung sebagai pengacara Melodi.
AZIQ dan Ain kini bergabung sebagai pengacara Melodi.
Norhayati Nordin


SETIAP orang pasti mempunyai impian yang ingin dicapai terutama dalam karier. Apatah lagi, jika membesar dengan 'program' yang disiarkan itu sehingga ingin menjadi sebahagian daripada keluarga besarnya.

Itulah yang dirasakan gandingan pengacara baharu Melodi TV3 iaitu Ain Edruce dan Haziq Hussni apabila mereka akhirnya diberi kepercayaan mengemudikan program hiburan nombor satu berkenaan.

Ia umpama 'dreams come true' (mimpi menjadi kenyataan) buat mereka.

Ain, 31, menyertai Melodi pada 3 Julai lalu, dan Haziq, 32, pula membuat kemunculan pertamanya pada 7 Ogos, baru-baru ini.

Apa yang menarik, gandingan duo sekawan ini tidak melakukan 'rehearsal' (raptai) awal dan terus dapat membentuk keserasian.

Menurut Ain, dia amat meminati bidang pengacaraan hiburan yang diketengahkan dalam Melodi dan sukar baginya melepaskan peluang yang datang.

Katanya, sejak dari awal bergelar pengacara dulu, dia sudah memasang impian untuk menjadi 'keluarga Melodi'.

AIN Edruce, Haziq Hussni serasi sebagai pengacara Melodi selepas ambil tugas Nabila Huda.
AIN Edruce, Haziq Hussni serasi sebagai pengacara Melodi selepas ambil tugas Nabila Huda.

"Pembabitan saya bersama Melodi bukan atas alasan menyingkirkan sesiapa, tapi saya hadir menggalas tanggungjawab ini sebagai pengganti kepada pengacara terdahulu, Nabila Huda yang tamat kontrak.

"Malah, antara saya dan Nabila juga tidak berahsia. Sebaik mendapat tawaran pengacara daripada pihak penerbitan Melodi, saya terus hubungi Nabila memaklumkan kepadanya dan dia ucap tahniah dan minta saya teruskan.

"Nabila juga memberikan kata-kata semangat kepada saya. Dia yakin dengan kemampuan saya untuk menggalas tanggungjawab ini (sebagai pengacara Melodi). Jadi, kini saya mahu membuat yang terbaik," katanya.

Menurut Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, dia lebih gemar mengacarakan Melodi bersama rakan pengacara lain.

Katanya, mengacarakan seorang diri dan berdua dengan rakan sangat berbeza.

"Bukan saya tidak boleh mengacara seorang, tetapi program hiburan popular seperti Melodi ini lebih seronok apabila ada 'partner' (pasangan). Apatah lagi, dengan adanya rakan pengacara, dapat juga mengurangkan perasaan gugup saya.

AIN gantikan pengacara terdahulu, Nabila Huda.
AIN gantikan pengacara terdahulu, Nabila Huda.

"Apapun, sebagaimana yang saya katakan ingin memberi terbaik, maka saya sentiasa pastikan setiap minggu kemunculan dalam Melodi ada peningkatan. Saya sentiasa cuba memperbaiki apa yang dirasakan kurang pada persembahan," katanya.

Mengulas juga mengenai kecaman netizen dan perbandingan dengan pengacara lain, Ain berkata, perkara itu normal dan realiti yang harus diakuinya.

Kata ibu seorang cahaya mata ini, yang pasti dia tidak kisah dan terlalu ambil peduli dengan komen-komen negatif diberi.

Menurut Ain, dia lebih suka memandang positif dengan membuktikan kemampuan dirinya.

Dia juga mengambil pendekatan mengelak untuk membaca komen-komen netizen kerana enggan fokus serta komitmennya terganggu.

HAZIQ, dari konti radio kini lebih aktif sebagai pengacara.
HAZIQ, dari konti radio kini lebih aktif sebagai pengacara.

Haziq 'lengkapkan' portfolio

Keputusan meninggalkan konti stesen radio Hot FM berkuat kuasa 10 Jun lalu ternyata bukan keputusan mudah dibuat Haziq Hussni. Ia berikutan pembabitannya bersama stesen radio itu sudah bertahan selama sembilan tahun.

Bermula sebagai Zoomerz pada Mac 2013, Haziq atau nama sebenarnya Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni seterusnya diberi peluang menjadi penyampai radio bermula Oktober 2014.

Katanya, pengalaman dan kenangan bersama Hot FM takkan pudar.

"Bagaimanapun, saya seorang yang sukakan perubahan. Saya ada keinginan untuk mengembangkan bakat dalam pelbagai cabang seni termasuk berlakon. Jadi, saya tak boleh terus terikat dengan tugas di konti radio kalau nak cuba jadi pelakon.

"Apatah lagi, saya dapati untuk berlakon perlukan masa lama di lokasi dan penggambaran selalunya pada waktu petang sehingga malam. Sedangkan saya, bertugas untuk segmen petang di radio. Jadi, nak dapatkan peluang itu agak terhad," katanya.

Menurut Haziq, selepas berbincang dengan isteri dan keluarga, dia gembira mereka faham dan menyokongnya. Malah, kata bapa kepada tiga cahaya mata ini, dia tak sangka rezekinya masih 'kekal' dengan Media Prima Berhad (MPB).

"Alhamdulillah, saya kini mendapat banyak peluang untuk mengacarakan program TV. Selain Melodi, saya juga hoskan Malaysia Hari Ini (MHI). Jadi, saya hanya mampu bersyukur dengan nikmat rezeki daripada Allah ini.

"Pembabitan saya bersama Melodi dianggap sudah melengkapkan portfolio kerjaya sebagai pengacara. Ini kerana saya juga sudah lama mengimpikan untuk dapat peluang menjadi hos Melodi," katanya.

Haziq berkata, Melodi agak berbeza dengan program hiburan yang lain dan ia amat menarik perhatian penonton. Katanya, dia juga melihat tanggungjawab mengacarakan Melodi adalah cabaran besar dan harus sentiasa berhati-hati ketika menyampaikan sesuatu berita hiburan yang disiarkan itu.

Selain Melodi dan MHI, Haziq sebelum ini pernah mengacarakan beberapa program TV lain, antaranya Nasi Lemak Kopi O di TV9, Borak Kopitiam (TV9), Mentor Otai (TV3) Moreh (TV3) Muzik-Muzik (TV3) dan Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:40 AM