AWAL tidak putus terima tawaran berlakon, namun akui sukar berkompromi dengan tempoh panjang untuk ‘shooting’. FOTO Rohanis Shukri
AWAL tidak putus terima tawaran berlakon, namun akui sukar berkompromi dengan tempoh panjang untuk ‘shooting’. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph


Sudah lama rasanya tidak melihat pengacara, Awal Ashaari berlakon.

Pasti ramai juga tertanya-tanya sama ada dia sebenarnya masih berlakon kerana tumpuannya hanya kerja mengacara.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, tampak memperlahankan pembabitan di arena lakonan. Padahal jika ikutkan dia pun masih sentiasa dinanti menebar bakatnya dalam lapangan itu.

Apa pun, dia ada alasan tersendiri kenapa tidak mahu berlakon buat masa ini.

Menurutnya, dia sukar berkompromi dengan tempoh panjang berada dalam lokasi penggambaran.

"Saya tabik pelakon kerana mereka ada daya kesabaran dan ketahanan yang sangat tinggi. Kalau di lokasi, saya kadang-kadang terfikir kenapa mereka boleh tahan dengan tempoh sangat panjang.

"Sebenarnya saya tak boleh bertoleransi dengan perkara itu sekarang. Ini kerana saya ada komitmen, hantar anak ke sekolah dan jaga mereka di rumah. Jadi, saya lebih memilih kerjaya yang tidak makan masa," katanya.

Awal yang pernah membintangi filem Niyang Rapik mengakui dia tidak pernah putus menerima tawaran berlakon. Tawaran yang diberikan buatnya pun sebenarnya berpatutan.

Apa pun, dia lebih mengutamakan dirinya memiliki kepuasan dari segi kehidupan peribadi mahupun mentalnya. Namun, untuk pengacaraan dia memang jarang menolaknya.

"Masih ada yang memberi tawaran, dapat panggilan daripada penerbit. Tapi, saya rasa macam saya lebih selesa mengacara. Kalau dapat tawaran mengacara, memang saya akan ambil.

"Jarang-jarang saya tolak. Kalau tolak pun mungkin sebab tawaran itu bertembung, tak kena dengan jadual atau ada tawaran yang sudah dipersetujui dulu.

"Saya fikir kalau tawaran lumayan pun bukan sebab wang, saya lebih pentingkan kepuasan serta kegembiraan mental saya," katanya.

AWAL ingin tumpu anak-anak membesar. FOTO Rohanis Shukri
AWAL ingin tumpu anak-anak membesar. FOTO Rohanis Shukri

Awal juga percaya tugas sebagai pelakon sangat menuntut komitmen tinggi. Bukan setakat masa panjang di lokasi penggambaran, bahkan untuk beri penjiwaan maksimum pada sesebuah watak.

"Persekitaran pelakon itu sebenarnya sangat-sangat mencabar. Bila nak masuk set, kena bawa sesebuah watak, cabaran tinggi. Bukan kata tak nak, sekarang saya memilih untuk tidak berlakon," katanya.

Dalam pada itu, Awal tiada perancangan untuk menambah cahaya mata selain dua anak perempuannya sekarang.

Katanya, dia ada cakap dengan isterinya juga pelakon Scha Al-Yahya juga cukup dengan dua anak.

"Ada anak, ketika masih kecil memang seronok. Tapi, bila membesar, ibu bapa kena bertanggungjawab besarkan mereka, pastikan dapat pendidikan terbaik, kesihatan mental terjaga.

"Kami pun masing-masing sibuk, keluar rumah pagi, malam baru balik. Bila ada banyak anak nanti, takut tak terjaga. Saya rasa setiap anak itu unik. Sebagai ibu bapa kena bagi perhatian sama rata," katanya.

Bukan apa, Awal akui banyak aspek mereka perlu dititikberat dalam memberi kehidupan terbaik kepada anak-anaknya. Dia percaya bukan mudah menangani hal itu apabila memiliki ramai anak.

MEMILIH untuk tidak berlakon buat masa sekarang. FOTO Rohanis Shukri
MEMILIH untuk tidak berlakon buat masa sekarang. FOTO Rohanis Shukri

"Kami pun nak beri yang terbaik. Pendidikan terbaik, kemahiran pelbagai. Hal itu yang buatkan saya terfikir kalau ada anak ramai, lebih banyak tanggungjawab kena laburkan kepada mereka," katanya.

Hakikatnya, Awal sangat gembira memiliki keluarga yang begitu lengkap sekarang ini baginya. Justeru, dia dan isteri serahkan saja kepada rezeki kalau beroleh tambahan cahaya mata.

"Dua anak pun kami sudah gembira sekarang. Mungkin kalau ada rezeki, tak tolak. Tapi, kami belum ada perancangan untuk menambah (anak) lagi. Buat masa ini fokus kepada dua saja," katanya.

Awal turut menekankan mengenai pemilihan corak kehidupan terhadap anak-anaknya. Disebabkan mahu yang terbaik, dia sanggup laburkan belanja tinggi supaya anaknya dapat kelebihan itu.

"Tanggungjawab membesarkan mereka kini sangat tinggi. Mungkin sebab pilihan kami juga. Lara pergi sekolah antarabangsa, adik dia pun bakal ikut jejaknya.

"Disebabkan memilih ke arah itu, kosnya agak tinggi. Perbelanjaan untuk tuisyen, beri kemahiran perlu kewangan yang besar. Setiap hari ada kelas," katanya.

Awal ditemui pada acara Usanita bersama perintis baharu dalam perniagaan baru-baru ini. Dia mengacarakan majlis itu selain berkongsi petua dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, dia bersama Usanita sudah lebih setahun. Dia gembira apabila melihat perkembangan industri perniagaan kecil sederhana selain menyaksikan ramai golongan muda mahu jadi usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:00 AM