SISSY sah bergelar pengacara Muzik-Muzik menggantikan aktres Daiyan Trisha.
SISSY sah bergelar pengacara Muzik-Muzik menggantikan aktres Daiyan Trisha.
Najiy Jefri


PENYANYI Sissy Imann berbesar hati dan gembira apabila diberi peluang untuk mengacarakan program popular, Muzik-Muzik 36 di TV3 sekali gus menggantikan pengacara Daiyan Trisha.

Sissy bakal bergandingan dengan penyanyi Alif Satar bermula 1 Ogos ini jam 11.30 pagi di TV3.

Sissy berkata, dia mengakui gementar untuk mengacarakan program yang mengangkat industri muzik tanah air dan berharap dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

"Sejujurnya saya gembira dan bercampur baur dengan gementar. Sebab dalam bidang pengacaraan ini, saya masih baru.

"Saya akui teruja untuk mengacarakan program ini kerana bidang muzik begitu dekat dengan jiwa saya, malah dari kecil pun saya membesar dengan menonton program ini.

"Banyak persediaan yang perlu saya lakukan, lebih-lebih lagi program ini membabitkan nama-nama komposer yang hebat. Saya akui perlu banyak membaca sebelum memulakan penggambaran," katanya.

Tambah Sissy, apa yang membuatkan dia tertarik dan menerima tawaran sebagai pengacara Muzik-Muzik kerana ini adalah langkah yang besar dalam portfolio seninya.

"Program ini antara yang ditunggu-tunggu oleh peminat muzik tempatan dan satu program yang besar.

"Saya anggap pembabitan saya sebagai pengacara adalah satu cabaran baru, lebih-lebih lagi saya bukan hadir sebagai pengacara.

"Saya bermula sebagai penyanyi, kemudian mengintai peluang sebagai pengacara. Jadi saya nak teroka cabang kerjaya baru ini dengan sebaik mungkin," katanya.

SISSY optimis untuk memulakan tugasan baharu sebagai pengacara di samping Alif Satar bermula 1 Ogos ini.
SISSY optimis untuk memulakan tugasan baharu sebagai pengacara di samping Alif Satar bermula 1 Ogos ini.

Menurut Sissy, dia bersedia untuk menerima apa saja kritikan dan teguran daripada orang luar.

"Pengacara sebelum ini mempunyai kelebihan tersendiri, begitu juga dengan saya.

"Bagi saya, terpulang kepada hak masing-masing untuk menilai siapa yang mereka suka. Cuma sekarang ini saya perlu menjadi diri sendiri saja.

"Apa yang pasti saya cuba beri suntikan yang berbeza daripada pengacara sebelum ini. Saya akan cuba tampilkan persembahan yang terbaik dan meninggalkan impak yang positif kepada penonton," katanya.

Biarpun kerjaya pengacaraan lebih mendapat perhatian berbanding kerjaya seni nyanyian yang menjadi minat utamanya, namun Sissy sentiasa positif dan tidak akan meninggalkan bidang muzik.

"Saya bersyukur dengan rezeki yang sudah ditakdirkan. Lagipun sekarang ini tengah pandemik jadi memang tiada persembahan.

"Bagi saya apa saja rezeki yang datang, saya kena ambil dan lakukan yang terbaik. Buat masa sekarang, tawaran pengacara yang datang tapi saya tidak akan melupakan karier nyanyian sebab ini adalah minat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:45 AM