LELAKI yang sanggup menyamar sebagai pengantin perempuan untuk bertemu kekasihnya. FOTO Agensi
LELAKI yang sanggup menyamar sebagai pengantin perempuan untuk bertemu kekasihnya. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki sanggup berpakaian pengantin perempuan demi bertemu kekasihnya yang bakal melangsungkan perkahwinan.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila dia dipukul sekumpulan individu.

Menerusi rakaman video, lelaki yang tidak dinamakan itu menyusup masuk ke majlis perkahwinan wanita yang diminatinya.

Dia dilihat berpakaian pengantin wanita, bersolek serta memakai rambut palsu.

Kejadian di Bhadohi yang terletak di utara India itu berlaku selepas lelaki terbabit mengetahui wanita terbabit akan berkahwin dengan lelaki lain.

Lelaki itu kemudian mengambil keputusan drastik untuk menyamar sebagai pengantin perempuan dengan harapan dia tidak dikenali.

Bagaimanapun, helahnya itu disedari tetamu yang menangkap sebelum memukulnya beramai-ramai.

Dalam kejadian dramatik itu, tembelang lelaki itu turut pecah selepas rambut palsunya tertanggal sekali gus mendedahkan identitinya yang sebenar.

Rakaman juga menunjukkan lelaki itu hadir ke majlis perkahwinan berkenaan menaiki motosikal bersama dua rakannya.

Sebaik tiba, dia bergegas masuk ke rumah dan memaklumkan mahu bertemu pengantin.

Permintaannya itu mengundang curiga tetamu yang hadir.

Tindakannya itu menyebabkan kekecohan dalam majlis berkenaan sehingga ada antara mereka yang memukulnya.

Polis kemudian dimaklumkan mengenai kejadian, namun lelaki itu berjaya melarikan diri sebelum pihak berkuasa tiba.

Berdasarkan laporan, ada rakan lelaki terbabit yang menunggu di luar rumah dan membolehkan dia melarikan diri.

Setakat ini, tiada sebarang penahanan dibuat polis berkaitan insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:30 AM