PENGANTIN wanita mengejar tunangnya yang dibawa polis. FOTO Agensi
PENGANTIN wanita mengejar tunangnya yang dibawa polis. FOTO Agensi
Agensi

Quito: Memalukan apabila seorang pengantin lelaki di Ecuador, Amerika Selatan, ditahan polis pada majlis perkahwinannya akibat terbabit kes tidak memberi nafkah anak dengan wanita lain.

Kekecohan itu berlaku sebelum pasangan itu melafaz ikrar perkahwinan di El Guabo, wilayah persisir selatan negara itu, El Oro.

Video situasi berkenaan yang dirakam seorang tetamu majlis mula tersebar luas di media sosial yang menunjukkan pengantin lelaki meninggalkan majlis berkenaan.

Dia diiringi pegawai polis dan masuk ke dalam kenderaan sebelum berlalu pergi. Tetamu majlis berkenaan kelihatan marah dan bingung, manakala pengantin wanita menjerit supaya polis tidak membawa pasangannya namun tidak diendahkan.

Dia akhirnya menggunakan kenderaan lain untuk mengekori kenderaan polis.

Daily Mirror melaporkan pengantin lelaki itu berhutang nafkah beberapa anak dengan wanita lain daripada hubungan terdahulu.

Dia dibawa ke balai polis untuk memberikan keterangan kerana menolak untuk menunaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya.

Sehingga kini, tidak diketahui sama ada pengantin lelaki itu sudah dibebaskan daripada tahanan atau jika dia berjaya melangsungkan perkahwinannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:15 AM