PENGANTIN wanita kelihatan tidak selesa kerana perlu memakai rantai dihiasi kira-kira 100 gelang emas yang begitu berat. FOTO Agensi
PENGANTIN wanita kelihatan tidak selesa kerana perlu memakai rantai dihiasi kira-kira 100 gelang emas yang begitu berat. FOTO Agensi
SAMBUTAN mewah itu diadakan di dewan tarian rumah mewah keluarga pengantin lelaki. FOTO Agensi
SAMBUTAN mewah itu diadakan di dewan tarian rumah mewah keluarga pengantin lelaki. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Pasangan pengantin China ini menjadi perhatian dunia selepas mengadakan majlis perkahwinan mewah yang menelan belanja 210 juta yuan (RM140.11 juta ), lapor South China Morning Post (SCMP).

Memetik saluran berita, toutiao.com, SCMP melaporkan, majlis perkahwinan keluarga Ye itu berlangsung di Putian, wilayah Fujian, awal Februari lalu.

Sambutan mewah itu diadakan di dewan tarian rumah mewah keluarga pengantin lelaki.

Sepasang 'naga kayu' dan burung phoenix digantung pada siling, manakala jambatan kecil dan astaka dalam gaya tradisional Cina bersama tanglung merah turut menghiasi kediaman itu.

Keluarga itu juga mengeringkan kolam ikan yang besar setahun sebelum acara itu supaya ia boleh digunakan untuk menempatkan pentas bagi majlis perkahwinan berkenaan.

Gambar tular menunjukkan, pengantin wanita kelihatan tidak selesa kerana perlu memakai rantai dihiasi kira-kira 100 gelang emas yang begitu berat, sehingga dia terpaksa membongkokkan sedikit badannya ke hadapan.

Perancang perkahwinan mengaturkan 50 pelayan wanita yang berpakaian merah dan kumpulan penari yang mempersembahkan tarian purba seperti zhi ci qing lu.

Tetamu dihidangkan makanan paling mahal seperti ketam raja, udang galah, sup sirip yu, sarang burung dan abalone (sejenis siput) dari Australia.

Setiap meja diletakkan sebotol arak Cina yang mahal, yang nilainya mencecah 1.5 juta yuan (kira-kira RM1 juta).

Salah seorang tetamu, yang berkongsi klip video perkahwinan itu di Douyin menceritakan, dia umpama menghadiri majlis perkahwinan keluarga bangsawan pada zaman dahulu kala.

Papan di atas pentas memaparkan nama pengantin lelaki sebagai Ye Dingfeng dan pengantin wanitanya, Yang Hanying.

Pengantin lelaki dipercayai anak kepada Ye Guochun iaitu pengerusi peruncit barang kemas emas terkemuka China, Lao Feng Xiang.

Yang pula dikatakan anak kepada seorang pengurus yang bekerja untuk jenama itu di wilayah utara.

Perkahwinan itu berlangsung ketika pihak berkuasa di seluruh negara menyeru orang ramai supaya memboikot acara mewah.

Banyak kerajaan tempatan menganjurkan langkah penjimatan termasuk mengadakan majlis perkahwinan beramai-ramai untuk puluhan, malah ratusan pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 4:15 PM