PASANGAN pengantin tidak mengendahkan wanita itu sehingga menyebabkan dia terus menjerit dan membuat kecoh.
PASANGAN pengantin tidak mengendahkan wanita itu sehingga menyebabkan dia terus menjerit dan membuat kecoh.
Agensi

Detroit: Bagaikan babak dalam telenovela, majlis perkahwinan pasangan di Michigan, Amerika Syarikat (AS) kecoh dengan kehadiran tetamu wanita tidak diundang.

Lebih menggemparkan apabila wanita berkenaan mendakwa pengantin lelaki menyebabkan dirinya hamil.

Mirror UK melaporkan video kejadian tular selepas dimuat naik seorang tetamu di aplikasi TikTok.

Ia memaparkan wanita itu secara tiba-tiba datang melulu ke arah pasangan pengantin dari arah belakang.

Ketika itu, kedua-dua mempelai melafazkan ikrar perkahwinan.

Menerusi rakaman video berkenaan, wanita itu menjerit kepada pengantin lelaki yang bernama Anthony.

Pasangan pengantin tidak mengendahkan wanita itu sehingga dia terus menjerit dan membuat kecoh.

Ia membuatkan tetamu lain terkejut.

"Anthony! Kamu berpura-pura tidak mengenali saya? Adakah kamu tidak mengambil ubat hari ini?

"Anthony, saya tahu kamu dengar! Kamu berpura-pura tidak mengenali saya. Saya mengandungkan anak kamu," katanya.

Melihat insiden itu, seorang budak perempuan membaling bunga kepada wanita berkenaan.

"Baik kamu tinggalkan majlis perkahwinan ibu saya. Apa masalah kamu?" kata budak perempuan itu yang dipercayai anak kepada pengantin wanita.

Seorang tetamu datang untuk menenangkan budak perempuan itu tetapi ia membuatkan keadaan bertambah tegang.

Difahamkan, setakat ini, video insiden berkenaan meraih 1.8 juta tontonan dan 44,000 komen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:30 AM