MOHD Sofee mengajar  penduduk terdiri daripada pelbagai lapisan umur. FOTO Mohd Sofee Mustafa.
MOHD Sofee mengajar penduduk terdiri daripada pelbagai lapisan umur. FOTO Mohd Sofee Mustafa.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Ilmu agama yang ada tidak disia-siakan suami isteri, Mohd Sofee Mustafa dan Nurul Izzati Jamaludin, sebaliknya mereka mengadakan kelas mengaji percuma buat penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota, Negeri Sembilan.

Mohd Sofee, 39, dan Nurul Izzati, 36, yang menetap di Kampung Astana Raja, Rembau, menawarkan khidmat sukarela itu sejak 2015 iaitu selepas pulang ke tanah air dari Jordan.

Mohd Sofee berkata, keinginan untuk mengajar mengaji itu didorong rasa tanggungjawab untuk membudayakan pembacaan al-Quran dalam kalangan penduduk tanpa mengira usia sama ada kanak-kanak, dewasa atau warga emas.

"Saya menetap di Jordan selama lima tahun iaitu bermula 2010 hingga 2015 dan pulang ke tanah air selepas isteri tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan.

"Selepas pulang ke kampung, timbul keinginan berbakti kepada penduduk dan datang idea untuk mengajar mereka mengaji sebagai salah satu cara berkongsi ilmu yang ada selepas mendapat pentauliahan daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

"Saya dan isteri mengajar percuma kerana enggan membebankan penduduk memandangkan sebahagiannya tidak mempunyai pendapatan tinggi, tetapi anak ramai. Jadi jika dikenakan yuran pasti akan menambah komitmen bulanan mereka.

"Namun, ada yang memberi upah seikhlas hati mereka kepada kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Sofee bersama isteri dan anaknya. FOTO Mohd Sofee Mustafa.
MOHD Sofee bersama isteri dan anaknya. FOTO Mohd Sofee Mustafa.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir, berkata, pada peringkat permulaan, hanya dia dan isteri menjadi tenaga pengajar bagi kelas mengaji di belakang rumah pusaka milik keluarganya.

Katanya, kini anak tunggalnya, Rufaidah Al-Aslamiah, 12, turut sama membantu mengajar Iqra' bagi kanak-kanak yang baru mengikuti kelas diberi nama Geng Ngaji itu.

"Selain itu, saya ada dapatkan khidmat lima belia lelaki yang digelar mentor bermula 2018 untuk menjadi tenaga pengajar sokongan.

"Mereka ini (mentor) mengajar secara sukarela tanpa dibayar gaji, tetapi ada kalanya saya akan memberi saguhati sebagai tanda penghargaan.

"Alhamdulillah, sambutan semakin menggalakkan dan secara purata, saya mengadakan 50 kelas mengaji dalam sebulan untuk penduduk sekitar Dun Kota manakala 200 kelas secara keseluruhan jika bersama isteri dan mentor," katanya yang juga pengusaha inap desa.

Mohd Sofee berkata, kelas mengaji dibahagikan kepada tiga sesi iaitu pagi untuk wanita, petang buat kanak-kanak dan lelaki pada sebelah malam selepas waktu Isyak.

Katanya, seiring kemajuan teknologi dan situasi negara yang masih diancam pandemik Covid-19, dia turut mengambil inisiatif mengadakan kelas mengaji dalam talian bagi memudahkan pelajarnya.

"Kelas mengaji secara bersemuka masih diadakan, cuma kami pecahkan kepada beberapa kumpulan dengan tujuh atau lapan pelajar saja pada satu-satu masa.

"Meskipun ia kelas mengaji, saya tidak tetapkan peraturan dan sukakan suasana santai dan turut gunakan kesempatan itu untuk berkongsi cerita serta pengalaman yang ada.

"Niat saya untuk menarik minat pelajar khususnya golongan muda supaya tidak berasa bosan untuk hadir ke kelas mengaji," katanya.

Berkongsi hala tujunya, Mohd Sofee berkata, impiannya adalah memperluaskan lagi kelas itu ke kawasan lain di Negeri Sembilan dan negeri lain di seluruh Malaysia.

Menurutnya, dia sudah mendaftarkan Geng Ngaji sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Jadi, salah satu perancangan Geng Mengaji selepas ini adalah mendapatkan dana awam bagi membolehkan kelas ini diperluaskan ke kawasan lain.

"Pada masa sama, saya turut usahakan ternakan ikan talapia dengan sebahagiannya dijual dan ada diberi percuma kepada penduduk kampung sebagai salah satu inisiatif tambahan saya selain mengajar mereka mengaji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 9:17 PM