TIGA sahabat mengajar murid istimewa mengenali dan membaca al-Quran.
TIGA sahabat mengajar murid istimewa mengenali dan membaca al-Quran.
Raja Noraina Raja Rahim


SEREMBAN: Berhadapan tindakan agresif anak-anak istimewa tidak mematahkan semangat tiga sahabat untuk mengajar mereka mengenali dan membaca al-Quran.

Walaupun terpaksa berdepan cabaran sukar itu, tetapi atas rasa tanggungjawab mereka terus berkhidmat sebagai guru mengaji al-Quran untuk anak istimewa di Rumah Ngaji, Rasah Kemayan, di sini.

Kesungguhan graduan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nor Madiha Zailan, Zuliza Nor Huzaini dan Siti Solehah Idris masing-masing berusia 24 tahun itu membuahkan hasil apabila ada anak didik mereka sudah mampu menghafal dan membaca surah dengan lancar.

Nor Madiha berkata, mereka mula terbabit dengan aktiviti itu ketika sama-sama menjadi sukarelawan dakwah orang kurang upaya (OKU) di Usim yang mengajar golongan terbabit membaca al-Quran.

Mengakui bukan tugas mudah dan menuntut kesabaran, Nor Madiha berkata, dia perlu bijak mengambil hati dan bermain emosi golongan OKU.

“Kaedah mengajar golongan ini berbeza dengan kaedah pengajaran anak normal.

“Kami guna kaedah ajar mereka hafal dahulu surah dalam al-Quran, baru ajar mereka mengenal.

“Ia menggunakan kaedah seperti mana Rasulullah SAW belajar mengenal al-Quran iaitu menghafal Iqra’ yang menjadi ayat pertama diturunkan kepada Baginda pada Ramadan,” katanya.

Ketika ini 19 anak istimewa seperti autisme, kurang upaya intelektual, sindrom Down, disleksia dan Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) berusia antara tujuh hingga 16 tahun mengikuti kelas pengajian percuma di rumah banglo dua tingkat yang diwakafkan untuk tujuan amal itu.

Mengulas lanjut, Nor Madiha berkata, kaedah yang diguna ternyata berkesan apabila anak istimewa itu yang tidak pernah mengenal al-Quran sebelum ini kini boleh membaca dan menghafal al-Quran.

Menurutnya, dia mengambil masa antara seminggu hingga sebulan untuk membimbing anak-anak itu menghafal satu surah bergantung kepada tahap ingatan anak-anak terbabit.

“Setiap anak-anak yang diajar sangat pelbagai terutama anak autisme. Ada antaranya yang tahap kecerdasannya (IQ) sangat tinggi, ada yang rendah dan ada yang sama seperti anak-anak lain.

“Adakala emosi mereka terganggu dan berubah secara tiba-tiba sehingga saya pernah dipukul dan dicakar. Ia berlaku ketika saya baru mula-mula mengajar anak istimewa ini.

“Oleh itu, saya banyak bersabar dan beristighfar. Jika ada yang mengamuk, saya suruh berdiri dan beristighfar.

“Alhamdulillah, cara itu sedikit berkesan dan mereka akan kembali belajar seperti biasa,” katanya.

Selain kelas hafalan, anak-anak terbabit turut diajar mengambil wuduk, solat, membaca rukyah, asmaul husna, selawat, zikir dan senaman untuk memberi ketenangan sebelum memulakan kelas.

“Saya memahami masalah dihadapi ibu bapa yang tidak tahu dan sukar mencari kelas mengaji untuk anak istimewa seperti ini.

“Mereka juga boleh membaca al-Quran sebenarnya jika kita tahu kaedah pengajaran yang betul,” katanya.

Sementara itu, Zuliza berkata, dia mahu menunaikan impiannya selama ini untuk membantu golongan terbabit membaca al-Quran.

“Saya melakukan latihan amali di Yayasah Faqeh di Nilai Impian yang turut menjadi tempat OKU belajar mengaji.

“Selepas tamat pengajian, saya minta bekerja di sana sebelum ditawarkan untuk bekerja di Rumah Ngaji yang ketika itu baru dibuka di sini,” katanya.

Zuliza yang berasal dari Banting, Selangor, berkata, dia gembira dan bersyukur apabila ada ibu bapa memberi maklum balas positif dan bangga anak sudah boleh membaca.

Bagi Siti Solehah pula, keinginannya untuk mengkaji teknik dan cara pengajaran sesuai untuk anak OKU membuatkan dia mencurahkan bakti sebagai guru mengaji di kelas pengajian itu.

“Sebelum ini saya selalu dengar orang tanya boleh ke mereka mengaji dan menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik mereka.

“Saya mahu melakukan kajian lebih mendalam terhadap bidang pengajian al-Quran anak istimewa. Saya berharap suatu hari nanti, ia akan berkembang pesat dan lebih ramai anak OKU boleh mengaji al-Quran dengan baik,” katanya yang bercita-cita membuka kelas pengajian sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:30 AM