Rosmah menyampaikan USD600 ribu (RM2.5 juta) kepada Othman sebagai sumbangan untuk Misi Kemanusiaan Kanak-Kanak Pelarian Syriadi sempadan Lubnan dan Jordan di Kompleks Seri Perdana.
Rosmah menyampaikan USD600 ribu (RM2.5 juta) kepada Othman sebagai sumbangan untuk Misi Kemanusiaan Kanak-Kanak Pelarian Syriadi sempadan Lubnan dan Jordan di Kompleks Seri Perdana.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Kesengsaraan yang ditanggung pelarian kanak-kanak dan wanita Syria mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia serta Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) apabila menyumbangkan RM2.52 juta untuk menjaga kebajikan mereka.

Daripada jumlah itu, RM2.1 juta daripada Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia manakala, RM430,000 daripada BAKTI.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sumbangan berkenaan diperuntukkan kepada pelarian itu di sempadan Lubnan dan sempadan Jordan.

“Daripada jumlah sumbangan daripada Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia, RM1.26 juta akan diperuntukkan kepada pelarian di sempadan Lubnan dan RM841,000 kepada pelarian di sempadan Jordan.

“Bagi sumbangan BAKTI, sebanyak RM300,000 akan diagihkan kepada pelarian di sempadan Lubnan manakala, RM170,000 kepada pelarian di sempadan Jordan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Kanak-Kanak Pelarian Syria di Lubnan dan Jordan di Kompleks Seri Perdana di sini, semalam.

Rosmah yang juga Penaung Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia dan Pengerusi BAKTI menyerahkan cek sumbangan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Othman Mahmood merangkap Pengerusi Jawatankuasa Akaun Amanah Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia.

Dalam pada itu, Rosmah berkata, sumbangan itu akan disalurkan melalui Pejabat Kedutaan Malaysia di Lubnan dan Jordan.

“Tujuan wang ini disalurkan terus kepada pihak perwakilan bagi menjimatkan kos pengangkutan sekiranya kita membeli semua barang keperluan di Malaysia.

“Pihak kedutaan akan membeli keperluan musim sejuk seperti selimut, jaket tebal, pakaian asas dan susu formula kepada 20,000 kanak-kanak dan wanita di sempadan Lubnan dan Jordan,” katanya.

Selain itu, Rosmah berkata, beliau difahamkan perwakilan Malaysia di kedua-dua negara itu sudah berhubung dengan rakan kerjasama di Lubnan dan Jordan termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, ia bagi menentukan keperluan yang sepatutnya serta memastikan urusan penghantaran dan pengagihan barang sumbangan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:27 AM