SERBUAN dilakukan penguat kuasa Jais di sebuah premis di Puncak Alam, Kuala Selangor, Khamis lalu.
SERBUAN dilakukan penguat kuasa Jais di sebuah premis di Puncak Alam, Kuala Selangor, Khamis lalu.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Berbekalkan lebih 100 pasangan yang sudah dinikahkan, seorang jurunikah tanpa tauliah yang juga bekas kakitangan awam yang bersekongkol bersama isteri dan anak meraih laba hingga RM50,000 dengan menjalankan kegiatan itu di beberapa lokasi di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu.

Pembongkaran kegiatan nikah tanpa kebenaran yang mengenakan bayaran RM3,000 hingga RM5,000 menyasarkan pasangan mahu berpoligami itu dibuat selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah premis di Puncak Alam, Kuala Selangor, Khamis lalu.

Malah, ketika serbuan, lelaki 50-an yang bertindak sebagai jurunikah dan wali terbabit dikatakan dalam proses menikahkan lelaki bukan warganegara dengan wanita tempatan.

Sumber Jais berkata, lelaki terbabit memberikan alasan ingin membantu pasangan bernikah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, lelaki terbabit dikesan menjalankan lebih 100 pernikahan tanpa kebenaran di beberapa lokasi di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu.

Dia turut menjadikan sebuah lokasi di Puncak Alam, Kuala Selangor sebagai premis untuk menikahkan pasangan, khususnya mereka yang ingin berpoligami.

"Kegiatan terbabit terbongkar selepas Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahannya Khamis lalu.

"Ketika ditahan, dia dalam proses untuk menikahkan pasangan pengantin membabitkan lelaki bukan warga- negara dan wanita tempatan," katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit turut menjalankan peranan 2+1, iaitu dengan menjadi jurunikah dan wakil wali kepada bakal pengantin. Dia yang juga bekas penjawat awam pernah ditahan kerana terbabit dalam pengurusan perkahwinan termasuk di luar negara sebelum ini.

Selain itu, dia turut mengiklankan perkhidmatannya di dalam Facebook miliknya.

"Siasatan mendapati dia tidak mempunyai tauliah untuk menikahkan pasangan dan menjadikan urusan itu sebagai punca pendapatan.

"Dia turut mengaku mempunyai jadual pernikahan yang cukup padat sepanjang PKP iaitu antara tiga hingga enam pasangan setiap hari.

"Setiap pasangan yang dinikahkan akan dikenakan bayaran dari RM3,000 hingga RM5,000 bergantung kepada penyediaan dokumen dan sebagainya," katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit mengaku memperoleh pendapatan hingga RM50,000 sebulan sebagai jurunikah.

Katanya, kegiatan sebagai 'perunding' perkahwinan itu turut dijalankan dengan bantuan isteri dan anaknya serta mempunyai rangkaian termasuk di Thailand.

"Dengan penahanan ini, kami yakin dapat menyelesaikan beberapa kes berkaitan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan penahanan suspek untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 1:00 PM