Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: “Walaupun tidak sihat saya perlu menjalankan tugas diamanahkan kerana tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka,” kata Pegawai Agama Daerah Jempol, Muzahar Mohd Deli selepas menikahkan pasangan duda dan janda di wad Hospital Jempol (HJ), semalam.

Dalam keadaan duduk di katil pesakit, Muzahar yang dimasukkan ke wad sejak Isnin lalu kerana jangkitan kuman pada paru-paru dan memakai topeng mulut, kelihatan tidak kekok menikahkan pasangan Rosli Abu Bakar, 51, dan Maznah Ismail, 36, jam 10.45 pagi.

Muzahar, 47, berkata, itu pengalaman pertamanya menikahkan pengantin di wad hospital sejak menjadi kadi 21 tahun lalu.

“Pernikahan ini tidak boleh dibatalkan kerana bapa kepada pengantin perempuan yang tinggal di Pattani, Thailand sudah mewakilkan kepada saya bagi pernikahan ini sejak tiga bulan lalu.

“Selepas menjadi wakil wali, akad nikah tidak boleh diwakilkan kepada pegawai lain pula dan jika majlis hari ini (semalam) dibatalkan ia menyusahkan pihak pengantin perempuan atas faktor mereka perlu datang semula ke hospital untuk dinikahkan,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, dia dan isteri pada mulanya terkejut apabila dihubungi kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Jempol, di sini, kelmarin memberitahu majlis akad nikah dibuat di HJ, semalam.

“Sebaik tiba di HJ jam 10 pagi tadi (semalam) kami terkejut mengetahui jurunikah yang sepatutnya menikahkan kami menerima rawatan,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia lapan hingga 22 tahun.

Sementara itu, Rosli bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar dengan kehadiran ahli keluarga terdekat, biarpun dibuat ringkas di wad hospital berkenaan serta menyifatkan ia kenangan tidak dilupakan mereka berdua.

“Saya dan isteri berkenalan setahun lalu ketika berniaga di pasar malam sekitar Lembah Klang dan memilih bernikah di sini kerana seorang adik saya tinggal di FELDA Raja Alias, dekat sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:20 AM