GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Biarpun digesa memberikan kerjasama kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pernikahan oleh jurunikah tidak bertauliah, masih belum ada pasangan yang tampil berbuat demikian.

Ia menyukarkan siasatan jabatan berkenaan yang memerlukan keterangan segera untuk menyiasat kes itu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, setakat ini belum ada yang tampil untuk membantu siasatan dan pihaknya yakin individu terbabit akan berbuat demikian tidak lama lagi.

"Mungkin kerana masih lagi di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin mereka hadir selepas itu.

"Apapun seperti yang saya tegaskan sebelum ini, mereka perlu tampil segera kerana jika tidak mereka berisiko untuk tidak mendapat hak dari segi undang-undang. Ini memberikan risiko terutama kepada isteri" katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ia termasuk pengabaian oleh suami serta tidak mendapat pembelaan undang-undang jika perkahwinan tidak didaftarkan.

"Kami (JAIS) tak boleh paksa untuk daftar, tapi jika ada masalah daftar anak, persekolahan anak, perkahwinan anak, tuntutan harta faraid dan tuntutan lainnya, ia akan jadi masalah besar.

"Bila perkahwinan tak daftar, suami tiada maklumat status sebenar perkahwinan dalam sistem Nikah Cerai dan Rujuk JAIS, jadi ada kemungkinan suami akan mohon nikah kali kedua dan diluluskan kerana dianggap bujang.

"Jadi poligami yang tidak diketahui isteri pertama, wanita yang baru berkahwin dengan jurunikah ini akan teraniaya atau tidak sedar haknya dinafikan," katanya.

Metro Ahad minggu lalu melaporkan seorang lelaki menawarkan khidmat sebagai jurunikah dengan menikahkan lebih 100 pasangan sejak lebih sebulan lalu.

Kegiatannya yang turut dilakukan bersama isteri dan anaknya itu terbongkar selepas ditahan Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, baru-baru ini.

Mohd Shahzihan berkata, lelaki itu disiasat mengikut peruntukan Seksyen 39, 40, 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga 2003 iaitu mengadakan akad nikah tanpa kebenaran dan kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 8:12 PM