Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Bukan saja pasangan berdepan hukuman berat akibat tindakan mereka 'lari' melangsungkan perkahwinan di selatan Thailand, malah wali dan saksi juga boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Data merekodkan jumlah rakyat Terengganu yang berkahwin tanpa kebenaran di negara jiran juga mencatatkan peningkatan dan kebanyakannya golongan muda berusia antara 30 hingga 40 tahun selain lelaki berusia 40 hingga 50 tahun.

Manakala bagi golongan wanita pula kebanyakan mereka membabitkan 'anak dara' serta berusia bawah 30 tahun selain ada juga golongan yang sudah berusia dan biasanya mereka ini tidak mempunyai dokumen penceraian.

Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT), Wan Abd Malik Wan Sidek berkata, sekalipun Enakmen Undang-Undang Agama Islam Negeri Terengganu 2017 sudah dipertingkatkan hukuman, tetapi masih berlaku rakyat negeri ini melangsungkan perkahwinan di Thailand.

Menurutnya, berlaku peningkatan perkahwinan tanpa kebenaran tahun lalu iaitu seramai 859 pasangan berbanding 786 pasangan pada tahun 2021 seluruh negeri ini.

"Jika kita lihat kepada data, ia tidak berkurang walaupun undang-undang ini dipinda dengan hukuman yang lebih berat.

"Masyarakat masih tidak takut sebaliknya 'lari' dari undang-undang kita untuk berkahwin di selatan Thailand.

"Kebiasaannya mereka yang memilih berkahwin di Thailand kerana mahu berpoligami, pasangan sudah hamil, tidak mahu mengikut prosedur dengan mengisi borang perkahwinan dan pasangan lari dari wali.

"Kalau kita lihat sekarang ini, pejabat agama memudahkan masyarakat dengan mengisi borang dalam talian berbanding sebelum ini, tapi disebabkan perangai masyarakat kita yang mahu lebih mudah, mahu segera dan ini yang menjadi masalahnya," katanya yang ditemui di pejabatnya di sini.

Wan Abd Malik berkata, jika didapati bersalah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Terengganu, pasangan, wali dan saksi berdepan dengan tindakan dan hukuman.

Beliau yang juga Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu berkata, terdapat empat jenis pertuduhan boleh dikenakan terhadap pihak lelaki.

"Yang pertama melakukan akad nikah tanpa kebenaran yang membawa hukuman maksimun RM2,000 atau satu tahun penjara. Lelaki itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 125 perkahwinan tanpa kebenaran yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara.

"Pasangan lelaki juga boleh didakwa mengikut Seksyen 126 iaitu poligami tanpa kebenaran yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau satu tahun penjara.

"Selain itu pasangan lelaki boleh didakwa mengikut Seksyen 32 iaitu jika gagal membuat laporan pengesahan pernikahan di pejabat agama selepas dua bulan yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan penjara tidak lebih satu tahun," katanya.

Sementara itu katanya, pasangan perempuan boleh didakwa mengikut dua pertuduhan.

"Pasangan perempuan boleh didakwa dibawah Seksyen 32 (2) iaitu akad nikah tanpa kebenaran yang membawa hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun.

"Selain itu mereka (pasangan perempuan) juga boleh didakwa mengikut Seksyen 125 iaitu perkahwinan tanpa kebenaran yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjaranya tidak lebih tiga tahun," katanya.

Wan Abd Malik berkata, wali pula boleh didakwa di bawah Seksyen 36 iaitu perkahwinan yang tidak dibenarkan yang mana denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara.

"Saksi pula boleh didakwa mengikut Seksyen 137 iaitu percubaan dan subahat yang mana hukuman sama dengan pasangan lelaki.

"Kesan perkahwinan di selatan Thailand ini, pasangan perlu membuat pengesahan oleh pendaftar perkahwinan atau pengesahan mahkamah.

"Apabila gagal berbuat demikian dan berlaku kelahiran, anak tidak boleh dinasabkan kepada bapanyanya.

"Kedua yang banyak kita jumpa, pasangan yang berkahwin di Thailand dan kemudian berlaku perceraian. Ia akan menjadi masalah apabila pasangan sudah lari dan lebih membebankan apabila ada anak yang mana anak itu masih tidak disahkan sekali gus memberi masalah daripada sudut

pendaftaran persekolahan dan pengenalan diri," katanya.

Wan Abd Malik berkata, pihaknya mendapati, Jawatankuasa Majlis Agama Islam sama ada di Narathiwat, Pattani atau Songkhla melantik individu khusus yang boleh menikahkan pasangan yang putus wali.

Tetapi, kata beliau, dalam kalangan mereka juga ada sindiket atau 'ulat' yang tidak bertauliah, kebiasaannya dikhuatiri tidak sah.

"Ada juga perkahwinan yang menggunakan sindiket di negara ini seperti di Air Sejuk, Setiu dan Pasir Putih, Kelantan yang mana wali dari Thailand datang menjadi wali dan ia menyebabkan perkahwinan tidak sah kerana bukan wali bapa atau wali nasab.

"Selain wali dari Thailand datang ke sini, ada juga jurunikah mereka sendiri membawa surat perkahwinan, bergantung kepada pakej yang dipilih ditawarkan iaitu antara RM3,000 hingga RM10,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 1:53 PM