Redzuan Muharam


KEHIDUPAN Nur Aiza Abdullah, 17, tidak seperti kebanyakan remaja seusianya kerana hanya mendapat kasih sayang keluarga angkat yang membesarkannya sejak lahir.

Namun, Nur Aiza diduga pula apabila ibu angkatnya, Asniati Hasan Basri meninggal dunia akibat barah rahim pada Disember 2017.

Sejak itu, dia tinggal bersama bapa angkat, Muhamad Zaid A Aziz dan dua abang angkatnya, namun terpaksa berpisah selepas mereka berempat diarahkan untuk meninggalkan rumah didiami bersama.

Bermula bulan lalu, Nur Aiza membawa haluan dengan menumpang teduh di rumah rakan ibu angkatnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Kuala Lumpur.

Manakala, bapa dan abang angkatnya tinggal menyewa bersama di sebuah rumah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

“Saya diambil keluarga angkat sejak lahir lagi dan tidak pernah sekali pun berjumpa dengan ibu dan ayah kandung.

“Ibu serta ayah angkat saya tidak pernah menceritakan perkara itu dan saya dapat tahu bukan anak kandung mereka daripada kawan ketika berusia sembilan tahun.

“Selepas bertanya dengan ibu (angkat), barulah dia ceritakan perkara sebenar tetapi mungkin kerana masih kecil, saya tidak terfikir untuk mencari keluarga kandung ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Blok B PPR Hiliran Ampang.

Meskipun dibesarkan oleh individu tiada pertalian darah, Nur Aiza tidak pernah rasa tersisih kerana dilayan seperti anak sendiri.

Bagaimanapun, pemergian ibu angkatnya amat meninggalkan kesan mendalam hingga dia benar-benar rasa kehilangan dan kini tiada pilihan kecuali berdikari.

NUR Aiza tinggal bersama keluarga angkat dan tidak pernah bertemu dengan keluarga kandung dari Indonesia ketika ditemui di PPR Hiliran Ampang. FOTO Aizuddin Saad
NUR Aiza tinggal bersama keluarga angkat dan tidak pernah bertemu dengan keluarga kandung dari Indonesia ketika ditemui di PPR Hiliran Ampang. FOTO Aizuddin Saad

“Ramai yang menawarkan diri untuk mengambil saya sebagai anak angkat tetapi buat masa ini, biarlah saya tinggal di sini kerana tidak biasa dengan orang tidak dikenali.

“Ada yang memberi bantuan, tetapi saya tetap berusaha mencari duit poket dengan mengambil upah mencuci pinggan di restoran di sebuah pusat beli-belah pada hujung minggu.

“Saya lakukan pekerjaan itu sejak awal tahun lalu hingga kini bagi menjelaskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan menampung perbelanjaan sekolah kerana tidak mahu meminta-minta dengan orang sekeliling,” katanya.

Nur Aiza berkata, biarpun tidak pernah bersua muka, dia pernah menghubungi ibu kandungnya yang kini tinggal bersama bapa dan adik-beradik lain di Indonesia.

Katanya, dia tidak pasti bagaimana ibu kandung dapat menjejakinya, tetapi mula berhubung dengan satu sama lain sejak dua tahun lalu.

“Allah sudah pilih maka saya hadap semua ini jadi saya terima. Tak kisah... apa alasan mak saya tak nak jaga.

“Saya reda... yang penting dia tetap ibu saya dan mahu mencarinya suatu hari nanti.

“Jika diberi peluang, saya mahu menyambung pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya yang bercita-cita menjadi peguam.

Sementara itu, jirannya, Ku Abdul Manab Ku Mustafa, 43, berkata dia dan jiran lain akan berusaha membantu Nur Aiza bagi memastikan nasibnya tidak terabai.

KU Abdul Manab. FOTO Aizuddin Saad
KU Abdul Manab. FOTO Aizuddin Saad

“Saya sudah lama tahu mengenai kisah Nur Aiza kerana kebetulan bapa saya berjiran dengan keluarga angkatnya ketika menetap di Kampung Bumiputera, Keramat iaitu sebelum berpindah ke sini.

“Persatuan penduduk dan pihak surau maklum dan bersedih dengan nasibnya serta akan menghulurkan bantuan dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah bersetuju memberi barangan keperluan dan kini, kita berusaha membantunya memohon kad pengenalan warganegara.

“Ini bagi memudahkan urusan Nur Aizadi kemudian hari kerana dia berstatus penduduk tetap walaupun dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), mungkin kerana diambil keluarga angkat sejak lahir,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Nur Aiza boleh menghubungi Ku Abdul Manab di talian 019-8244038.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 11:02 PM