SALINAH (tengah) bersama ayah kandung (kiri) dan ayah angkatnya (kanan). FOTO ihsan Salinah Adelinah
SALINAH (tengah) bersama ayah kandung (kiri) dan ayah angkatnya (kanan). FOTO ihsan Salinah Adelinah
Noor Hidayah Tanzizi


Merlimau: "Sepanjang saya hidup 27 tahun ini, belum pernah saya mendengar arwah ibu dan ayah mengatakan saya anak angkat walau macam mana pun mereka marah pada saya," kata Salinah Adelinah Abdullah.

Menurutnya, mereka menjaga dirinya dengan penuh kasih sayang walaupun bukan anak kandung mereka dan berlainan agama.

Katanya, pengorbanan mereka tidak dapat dia balas biarpun dengan nyawa.

Salinah Adelinah, 27, wanita Tiongha yang mendapat perhatian di TikTok baru-baru ini, apabila berkongsi kisah hidupnya yang dijaga ibu bapa angkat berbangsa Melayu sejak berusia sehari dan akhirnya memilih Islam.

Menurutnya, dia terhutang budi dan nyawa dengan Saripah Abu Adam dan Ahmad Mohammed Tahir, 68, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal kerana mengambilnya sebagai anak angkat tanpa melihat perbezaan agama dan bangsa.

Menurutnya, dia kemudiannya terbuka hati memeluk Islam ketika berusia 13 tahun dengan kerelaan sendiri dan turut mendapat kebenaran keluarga kandungnya.

"Saya dilahirkan di Kuala Lumpur dan ketika itu ibu berniaga kantin di sebuah kilang. Mereka tidak mempunyai anak dan ketika itu sahabat baik mereka memberitahu mengenai saya.

"Mereka kemudiannya mengambil saya di sebuah rumah di Ampang dan jika ibu dan ayah tidak ambil, saya nenek akan menjaga saya.

"Atas kebenaran keluarga kandung saya, ibu dan ayah mendaftarkan saya sebagai anak angkat mereka dan kemudiannya kami berpindah ke Merlimau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

SALINAH bersama ibu dan bapa angkatnya. FOTO ihsan Salinah Adelinah
SALINAH bersama ibu dan bapa angkatnya. FOTO ihsan Salinah Adelinah

Eksekutif jualan telefon itu berkata, ibunya sudah meninggal dunia kerana kanser tahap empat dan dia kini masih tinggal bersama bapanya di rumah mereka, malah sangat bersyukur suami juga sudi menerima dan menjaga bapanya.

"Sepanjang usia mereka saya adalah keutamaan mereka walaupun saya bukan daripada keturunan mereka.

"Segala keperluan dan pendidikan saya diberikan dengan baik, malah kalau tiada mereka mungkin saya tidak mengenal Islam.

"Saya masih ingat pada 2013, ibu yang sudah tidak berniaga kerana masalah kesihatan sanggup keluarkan duit syiling demi memenuhi kemahuan saya yang mahu makan nasi ayam dan cendol.

"Demi mereka saya juga sanggup melepaskan peluang bergelar tentera biarpun ketika itu saya sudah berjaya dalam pemilihan pada 2017 kerana ibu dan ayah jatuh sakit.

"Ibu menghembuskan nafas terakhir pada tahun yang sama juga tetapi saya bersyukur dapat menguruskan mereka biarpun cita-cita menjadi tentera tidak tercapai," katanya.

Salinah Adelinah berkata, walaupun dia memilih Islam dan terus bersama keluarga angkatnya sehingga kini, namun hubungannya dengan keluarga kandung masih baik.

"Hubungan kami tidak pernah putus dan beberapa ahli keluarga seperti mak cik saya juga memeluk Islam. Arwah ibu dan ayah juga tidak pernah menafikan keluarga kandung saya dan tidak pernah melarang saya berjumpa mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 5:56 PM