JANOR tinggal bersendirian dan mengharapkan belas ihsan jiran tetangga. FOTO AHMAD UKASYAH
JANOR tinggal bersendirian dan mengharapkan belas ihsan jiran tetangga. FOTO AHMAD UKASYAH
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sudahlah tidak dapat berjalan akibat kecacatan fizikal, kehidupan Janor Mohd Kassim juga sunyi kerana tinggal sendirian.

Semuanya selepas Janor, 61, berpisah dengan isteri dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh.

Janor yang menyewa di Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, di sini dan mempunyai masalah pertuturan tiada pilihan melainkan menguruskan dirinya sendiri ketika di dalam rumah.

Jika lapar, Janor akan turun sendiri ke bawah dengan bergerak menaiki kerusi roda untuk mencari makanan dan dia bertuah kerana peniaga medan selera di kawasan perumahannya tidak berkira.

Buktinya, peniaga di situ akan memberi makanan percuma setiap kali Janor datang ke premis mereka.

Janor menerima kunjungan wakil penduduk Amir Nizam bersama Ishak . FOTO AHMAD UKASYAH
Janor menerima kunjungan wakil penduduk Amir Nizam bersama Ishak . FOTO AHMAD UKASYAH

Menceritakan perihal Janor, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Hiliran Ampang dan Ahli Jawatankuasa Majlis Permuafakatan Penduduk Sub Zon 2 Ampang Titiwangsa, Ku Abdul Manab Ku Mustafa berkata, Janor menetap di situ sejak 2006.

Menyedari keadaan Janor, Ku Abdul Manab bersama jawatankuasa penduduk berusaha membantu setakat mana yang termampu dalam usaha meringankan beban lelaki berkenaan.

"Setakat yang kami tahu, pak cik Janor sudah berpisah dengan isterinya dan ada seorang saja anak perempuan cuma tidak tinggal dengannya kerana duduk di asrama.

"Difahamkan, pak cik Janor ada menerima bantuan bulanan sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM350.

"Wang itu yang digunakannya untuk tanggung diri sendiri dan bayar rumah sewa cuma logiknya memang tak cukup," katanya ketika ditemui Harian Metro ketika mengadakan kunjungan ke rumah Janor.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Hiliran Ampang Blok B dan C, Amir Nizam Ariffin, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Hiliran Ampang Blok B dan C, Ishak Ismail dan Timbalan pengerusi MPP Sub Zon 2 Ampang Titiwangsa, Roslan Mohd Dom.

Ku Abdul Manab mengakui tersentuh setiap kali berjumpa dengan Janor dan mengenangkan keadaannya.

"Walaupun ada komitmen dan kerja hakiki, saya dan jawatankuasa penduduk akan datang ke rumah pak cik Janor untuk ziarah serta lihat keadaannya.

"Setiap kali jumpa, kami akan tanya khabar dan luangkan masa bersembang dengannya.

"Tapi kami tak boleh bersembang lama kerana pak cik Janor mudah tersentuh malah setiap kali ceritakan kisahnya, dia akan menangis.

"Mungkin itu caranya luahkan perasaannya dan jujurnya, tak sampai hati nak hantar pak cik Janor ke rumah orang tua memandangkan dia pun masih ada anak jadi selagi termampu, kami akan cuba bantu memantau keadaannya walaupun tidak tinggal serumah," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 06451135913 atas nama Janor Mohd Kassim atau menghubungi Ku Abdul Manab di talian 019-8244038.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 10:38 PM