DANIEL menunjukkan barangan pelanggan yang dibelikan.
DANIEL menunjukkan barangan pelanggan yang dibelikan.
Redzuan Muharam


DANIEL Arief Ahmad Fuat pernah mendapat perhatian rakyat Malaysia kerana terbabit dalam kemalangan di tempat kerjanya di sebuah kilang kitar semula di Samseong, Seoul, Korea Selatan.

Dalam kejadian bertarikh 19 November 2018 itu, Daniel, 23, bertarung nyawa kerana separuh badannya dari pangkal paha ke bawah hancur dikisar mesin pengisar sampah.

Berikutan itu, Daniel perlu menjalani pembedahan akibat jangkitan kuman.

Anak sulung daripada tiga beradik itu sudah selesai menjalani rawatan di Hospital Suwon Ajudae pada Januari lalu dan kini berada di kediamannya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bercerita lanjut, Daniel berkata, ketiadaan kedua belah kaki bukan penghalangnya mencari rezeki sebaliknya dia giat menjana pendapatan sebagai pembeli peribadi selepas selesai menjalani rawatan di hospital.

“Apa yang berlaku memang membawa perubahan dalam hidup saya kerana keadaan fizikal tidak seperti dulu.

“Namun, saya sudah dapat menerima kenyataan itu dan memilih untuk bekerja sebagai pembeli peribadi kerana suka membeli-belah serta seronok apabila dapat memenuhi kehendak pelanggan yang memesan pelbagai jenis barangan.

“Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu rakan, Mohd Ridzoan yang menjadi pembantu ketika membeli barangan dipesan oleh pelanggan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Daniel, pekerjaan itu memberinya kepuasan, tetapi dia terpaksa berehat sementara waktu berikutan wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang melanda Korea Selatan ketika ini.

Bagaimanapun, dia bercadang kembali semula ke republik itu selepas keadaan kembali reda.

“Ikutkan, saya baru bekerja sebagai pembeli peribadi pada Januari lalu dan bersyukur kerana sudah mempunyai pelanggan berminat membuat pesanan antaranya pakaian, kosmetik dan lain-lain lagi,” katanya.

Berita berkaitan

Danial Arief makin sihat

Daniel makin positif

Doakan Daniel Arif...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 7:48 AM