DANIEL Fong. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DANIEL Fong. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Najiy Jefri


Putrajaya: Pelakon Daniel Fong tidak pernah menutup pintu hati buat mana-mana wanita selepas hubungan cintanya dengan seorang doktor berakhir tahun lalu.

Daniel, 30, berkata, dia berlapang dada apabila ikatan cinta yang terjalin selama tujuh tahun tidak berjalan seperti yang diharapkan.

"Bekas teman wanita saya adalah wanita yang hebat. Dia adalah seorang doktor. Keputusan untuk berpisah ini dibuat secara baik dan matang.

"Sebelum kami berpisah, saya ada beritahu kepadanya jika dia perlukan pertolongan atau saya berjaya satu hari nanti, saya akan selalu ada disampingnya.

"Dia ibarat sebahagian daripada keluarga saya sebab kami sudah lama bercinta. Saya mula mengenalinya ketika usia saya 21 tahun," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan butik Hackett London di IOI City Mall, di sini , hari ini.

Selain Daniel, majlis terbabit turut dihadiri beberapa selebriti popular seperti Azrel Ismail, Mathni Razak dan Aiman Wynne.

Menurut Daniel, hubungan cintanya berakhir kerana masing-masing sudah mempunyai hala tuju dan pemikiran yang berbeza.

"Memandangkan kami bercinta seawal usia 21 tahun, lama-kelamaan pemikiran kami sudah berbeza. Apa yang saya nak, mungkin bukan apa yang dia nak.

"Ini kerana saya nak fokus dalam kerjaya seni, dalam masa sama dia pun nak fokus dengan bidang kedoktoran dan mahu mengejar impian menjadi pakar bedah.

"Sejujurnya saya masih kekok dengan status solo kerana selama ini saya sering berkongsi masalah dan berita gembira dengan dia. Tapi sekarang saya hanya mampu bercerita dengan ibu saya saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 2:53 PM