KEADAAN Danial Arief semakin baik. FOTO ihsan Ahmad Fuad Yun
KEADAAN Danial Arief semakin baik. FOTO ihsan Ahmad Fuad Yun
Idris Musa


RAKYAT Malaysia, Danial Arief Ahmad Fuad, 22, yang separuh badannya dari pangkal paha ke bawah hancur dikisar mesin di sebuah kilang di Samseong, Seoul, Korea Selatan, November tahun lalu, selesai menjalani semua proses pembedahan.

Bapanya, Ahmad Fuad Yun, 53, berkata anaknya itu kini dalam tempoh pemeriksaan berkala yang dipantau pihak hospital.

“Pembedahan semua sudah selesai. (Pada) 8 Mac lalu, dia dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan fisioterapi dan latihan penyesuaian keadaan fizikal.

“Keadaan (kesihatan) dia bertambah baik,” katanya yang menemani anaknya menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Yullyang.

Ditanya sama ada akan pulang ke Malaysia dalam tempoh terdekat, katanya, dia belum pasti kerana masih banyak proses perlu dilalui Danial Arief.

“Belum pasti (tarikh pulang ke tanah air) sebab banyak lagi proses yang kena dibuat,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Pada 19 November tahun lalu, Danial Arief yang sedang mengorek sampah tersangkut di mesin pengisar.

Ketika itu, mesin sudah dimatikan dan dia diarahkan mengorek sampah dari dalam manakala yang lain berusaha membaikinya.

Namun selepas sejam, mesin itu tiba-tiba bergerak dan dia nyaris maut apabila separuh badannya dari pangkal paha ke bawah hancur dikisar.

Dia dimasukkan ke Hospital Suwon Ajudae, Seoul dan pada mulanya, keadaan dia tidak stabil malah terpaksa diberikan ubat tidur oleh pihak hospital.

Berita berkaitan

Daniel makin positif

Doakan Daniel Arif...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:03 PM