Norrasyidah Arshad


DUA anggota polis direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah menutup saman trafik yang dikenakan kepada pemilik kenderaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shazali Hidayat Shariff terhadap anggota berpangkat Sub Inspektor dan Sarjan masing-masing berusia 51 dan 38 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kedua-dua suspek ditahan jam 12.30 tengah hari dan 9 malam semalam selepas hadir di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

“Tangkapan itu dilakukan oleh SPRM Pulau Pinang dengan bantuan SPRM Selangor.

“Ia susulan penahanan tiga anggota polis, semalam yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes rasuah sama.

“Kita percaya anggota polis berpangkat Sub Inspektor yang bertugas di IPK Selangor itu adalah dalang kes ini,” katanya kepada NSTP.

Kata sumber itu, kegiatan berkenaan dipercayai sudah berlarutan sejak 2012 dengan nilai purata suapan diterima antara RM300 hingga RM500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Portal berita Harian Metro, semalam melaporkan empat individi termasuk tiga anggota polis direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan bagi menutup saman trafik.

Kesemua mereka ditahan masing-masing sekitar Kuala Lumpur, Kajang dan Shah Alam dalam operasi yang dijalankan SPRM Pulau Pinang dan Selangor.

Berita berkaitan

Empat termasuk tiga anggota polis direman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 11:05 PM
PEGAWAI polis mengiringi dua anggota polis (baju oren) untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO/VIDEO Faiz Anuar
PEGAWAI polis mengiringi dua anggota polis (baju oren) untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO/VIDEO Faiz Anuar