BAYI lelaki selamat dilahirkan secara pembedahan di sebuah hospital di Wuhan. FOTO Agensi
BAYI lelaki selamat dilahirkan secara pembedahan di sebuah hospital di Wuhan. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang ibu yang disyaki dijangkiti wabak koronavirus baharu selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital di Wuhan, China, kelmarin.

Reuters melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Ostetrik dan Ginekologi Wuhan Union Hospital, Zhao Yin berkata, keadaan kesihatan wanita berusia 27 tahun itu semakin merosot membuatkan kelahiran itu terpaksa dilakukan menerusi pembedahan.

“Wanita itu tidak mendapat rawatan sempurna ketika bayi masih di dalam kandungannya,” katanya menerusi laporan sebuah televisyen tempatan.

Katanya, pembedahan itu berisiko tinggi berikutan wanita berkenaan demam dan mengalami batuk berterusan.

“Pasukan kami memakai dua lapis sut perlindungan, penutup mulut dan gogal ketika melakukan pembedahan selama sejam,” katanya.

Sementara itu, akhbar Independent melaporkan doktor itu memberitahu bahawa dia sukar untuk melihat dan mendengar ketika melakukan pembedahan berkenaan kerana sut yang tebal.

“Disebabkan sut itu juga, kami berpeluh dengan banyak,” katanya.

Wanita itu dikenali sebagai Xiaoyan disyaki dijangkiti virus berkenaan ketika kandungannya berusia 37 minggu, awal Januari lalu.

Difahamkan, selepas dilahirkan, bayi seberat 3.1 kilogram itu dihantar pulang ke rumah segera bagi mengelak jangkitan di hospital.

Xiaoyan pula hanya berharap supaya bayinya itu selamat.

“Saya hanya mahu bayi saya sihat,” katanya seperti yang dilaporkan stesen televisyen tempatan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:01 AM