ANGGOTA kakitangan perubatan memeluk satu sama lain di wad pengasingan di sebuah hospital di Zouping di wilayah timur Shandong China. FOTO AFP
ANGGOTA kakitangan perubatan memeluk satu sama lain di wad pengasingan di sebuah hospital di Zouping di wilayah timur Shandong China. FOTO AFP
Agensi

BEIJING: Selain berdepan tugas tanpa henti untuk merawat pesakit yang dijangkiti dan disyaki dijangkiti koronavirus baharu, doktor dan jururawat turut berdepan tekanan emosi.

Ini kerana selain perlu mengendalikan pesakit dan ahli keluarga mereka yang panik, kakitangan perubatan juga terpaksa berdepan kekurangan peralatan asas seperti topeng muka dan sut perlindungan.

South China Morning Post melaporkan seorang doktor di hospital Wuhan tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu dan ketika bertugas tengah malam baru-baru ini, dia menyaksikan 150 pesakit menanti untuk dirawat sebagai pesakit luar.

“Semua pesakit dalam kebimbangan. Ada yang terdesak kerana perlu menunggu berjam-jam dalam keadaan sejuk.

“Saya ada terdengar perbualan antara mereka yang mahu menikam kami kerana menunggu terlalu lama. Saya sangat risau. Membunuh kami tidak akan mengurangkan jumlah pesakit yang menunggu bukan?”

Baru-baru ini, Beijing Youth Daily melaporkan dua doktor di Wuhan Fourth Hospital dipukul ahli keluarga pesakit dengan sut keselamatan seorang daripada doktor itu dikoyakkan.

“Doktor dan jururawat bekerja tanpa henti malah, shif malam juga penuh dengan pesakit. Kami dikelilingi dengan pesakit yang batuk di sebelah kami sepanjang malam.”

Laporan itu berkata, Beijing kini mengerahkan 6,000 kakitangan perubatan untuk membantu rakan mereka di Hubei.

Pasukan tentera darat, udara dan laut juga turut menghantar doktor mereka untuk membantu merawat pesakit di tiga hospital utama.

Walaupun 500,000 kakitangan perubatan di Hubei membatalkan cuti Tahun Baharu Cina mereka, hospital masih kekurangan tenaga kerja.

“Terlalu banyak pesakit perlu dirawat, terlalu banyak ujian perlu dilakukan dan semua orang terlalu banyak kerja.

“Namun, dengan bantuan tambahan ini, rakan kami di Wuhan boleh melelapkan mata seketika,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 7:40 AM