GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kudat: Penjenayah yang menyamun dan menetak seorang pemberi pinjam wang berlesen di Pekan Baru, di sini, diberkas dalam tempoh kurang 10 jam selepas kejadian.

Suspek warga asing berusia lingkungan 30 tahun ditahan di kawasan semak di Jalan Sikuati Lama, Sungai Karang, di sini, kira-kira 4.30 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita memaklumkan suaminya disamun oleh seorang lelaki tidak dikenali, jam 6.55 pagi.

Katanya, hasil maklumat itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa parah akibat tetakan di bahagian tubuh badannya.

"Mangsa berusia lingkungan 30 tahun kemudian dihantar ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut terhadap saksi kejadian, motif adalah samun terhadap mangsa sewaktu kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil operasi yang dijalankan berjaya menjejaki dan menahan suspek yang terbabit dalam kejadian samun berkenaan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 7:53 PM