Redzuan Muharam

Rawang: "Baki akaun saya tinggal RM1.50 saja, sewa rumah bulan ini pun belum dibayar dan tak tahu macam mana nak ke hospital esok untuk rawatan kemoterapi kerana tiada wang bagi membayar tambang ke hospital," luah Abdul Wahid Mohd Adnan Gavala.

Abdul Wahid, 34, menghidap dua jenis barah iaitu Peritoneal carcinomatosis (barah bahagian usus) dan Disseminated Restoneal Ewing sarcoma (barah tulang) tahap empat serta sakit jantung.

Dia disahkan menghidap penyakit itu sejak Mei lalu dan tidak dapat bekerja sejak Januari lalu hingga kini.

Keadaan itu membuatkannya runsing kerana perlu menyara keluarga iaitu isteri, Marnisah Augobaralle, 31 , tujuh anak dan emak, Zubaidah Mohamad, 58, yang turut tinggal bersama.

Isterinya pula kini hamil lapan bulan namun belum ada persediaan dibuat untuk menyambut kelahiran cahaya mata kelapan mereka.

"Sebelum sakit, saya pernah bekerja sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat pengawal keselamatan bermula tahun 2012 hingga 2019.

"Dalam tempoh sama iaitu pada 2018, saya berniaga kecil-kecilan menjual nasi bryani dan nasi campur dengan membuka gerai di tepi jalan sebelum meletak jawatan Oktober 2019.

"Awal 2020 agak mencabar kerana pandemik Covid-19 namun saya usaha juga berniaga hingga dapat peluang tawarkan khidmat katering selain menjual pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

"Kesihatan saya dulunya baik namun segalanya berubah sejak Februari lalu apabila kaki saya jadi kebas dengan tiba-tiba kemudian perut kembung," katanya ketika ditemui di rumah sewanya dekat Pangsapuri Seri Seroja, Bukit Beruntung, di sini.

Menurut Abdul Wahid, dia pada awalnya mendapatkan rawatan klinik swasta saja tetapi ke hospital selepas keadaan perutnya tidak menunjukkan perubahan.

"Mulanya doktor di klinik beri suntikan dan ubat namun perut saya tetap kembung walaupun selepas sebulan malah berasa seperti ada air dalam badan.

"Bagi mendapatkan kepastian, saya ke klinik semula untuk pemeriksaan dan didapati kembung itu bukan kerana gastrik atau najis. Doktor merujuk saya ke Hospital Selayang sebelum ditahan pada 8 Mac lalu.

"Perut kanan saya ditebuk dan setiap hari keluar dua liter cecair kotor daripada badan. Kemudian, perut kiri pula ditebuk. Pada awalnya saya disyaki ada tibi, jantung dan paru paru namun akhirnya disahkan menghidap dua jenis barah," katanya.

ABDUL Wahid menunjukkan ubat yang perlu dimakan. FOTO Fariz Iswadi Ismail
ABDUL Wahid menunjukkan ubat yang perlu dimakan. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Abdul Wahid berkata, rawatan kemoterapi pertama dijalankan pada 3 Jun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah jantung dan baru pulang ke rumah 20 Jun lalu.

"Esok, saya sekali lagi akan ke HKL untuk menjalani rawatan kemoterapi kedua.

Menurut doktor, saya perlu menjalani rawatan kemoterapi selama enam bulan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh itu.

"Pening juga kerana sudah kehabisan wang simpanan jadi tak tahu bagaimana untuk membeli barang keperluan rumah. Bekalan susu anak juga habis hingga anak bongsu saya terpaksa minum air teh saja.

"Mujurlah sewa rumah sejak Januari hingga Jun sudah dilangsaikan menggunakan duit simpanan namun masih tertunggak bulan ini kerana tiada wang dan risau juga kerana ia perlu dibayar sebelum 7 Julai," katanya.

Abdul Wahid mengakui malu meminta minta malah mahu berniaga seperti dulu untuk menampung keluarga tetapi kudrat dan kesihatan tidak mengizinkan.

"Diharap, saya dapat sembuh dan berdoa semoga dipanjangkan umur.

"Kalau ada yang ikhlas bolehlah beri sumbangan modal berniaga kerana peralatan dan tapak niaga sudah ada," katanya yang belum menerima bantuan dan berusaha mendapatkannya menerusi Majlis Kanser Nasional (Makna).

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162441090881 atas nama Abdul Wahid Mohd Adnan Gavala atau menghubunginya di talian 017-255 1230.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 8:34 PM