SITI Saqmah   mencari rezeki dengan menjual sandwic dan kek batik yang dihasilkan. Gambar kanan, Siti Saqmah mengharapkan keajaiban untuk membesarkan anaknya, Annur Amani.
SITI Saqmah mencari rezeki dengan menjual sandwic dan kek batik yang dihasilkan. Gambar kanan, Siti Saqmah mengharapkan keajaiban untuk membesarkan anaknya, Annur Amani.
Oleh Redzuan Muharam


Batu Pahat: Berat ujian ditanggung Siti Saqmah Mansor kerana bukan saja perlu membesarkan anak bersendirian selepas kematian suami, Zamri Sulaiman, malah bertarung nyawa akibat barah mulut tahap empat sejak dua tahun lalu.

Siti Saqmah, 33, yang menetap di Parit Raja di sini, perlu membesarkan anak tunggalnya, Annur Amani Zamri, 8, yang tinggal bersamanya.

Menurutnya, bukan mudah meneruskan hidup tanpa suami namun tiada pilihan melainkan akur dengan ketentuan-Nya.

Menyedari tanggungjawab digalas, Siti Saqmah berikhtiar membuat dan menjual sandwic, sosej serta kek batik bagi menjana pendapatan kerana hanya itu mampu dilakukan dengan kudratnya ketika ini.

"Dulu, saya sihat dan normal, tetapi suami yang menghidap barah saluran makanan tahap empat.

"Ditakdirkan, suami tak dapat bertahan dan akhirnya dijemput Ilahi pada 2017, jadi tinggal saya berdua dengan anak.

"Setahun kemudian (2018), saya terbabit dalam kemalangan ketika menaiki kereta dipandu abang dan kesannya, gusi atas pecah.

"Awalnya, doktor tak kata apa tapi ia membengkak. Lama-kelamaan, bengkak di gusi semakin membesar dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati saya menghidap barah mulut," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Siti Saqmah berkata, dia mengambil masa lama untuk menerima hakikat dirinya menghidap barah.

"Selepas disahkan menghidap barah, sebulan juga saya di hospital iaitu pada September 2021 untuk menjalani pembedahan gusi dan lelangit.

"Memang patah semangat namun saya kuat sebab anak kerana fikir dia masih kecil dan kena ke sekolah.

"Jadi jika saya lemah bagaimana nak cari duit untuk tanggung dan besarkannya?" katanya.

Berhubung penyakitnya, Siti Saqmah berkata, dia sudah menjalani empat sesi kemoterapi.

"Itu saja ikhtiar saya buat masa ini kerana penyakit saya ini tiada ubatnya.

"Jadi, saya hanya mampu berdoa dan mengharap ada keajaiban untuk diberi kesembuhan kerana tak dapat bayangkan bagaimana anak jika saya tiada nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 7:58 AM