SHEIKH  Ahmad Dusuki (kanan) beramah mesra dengan  Wan Izzat sambil diperhatikan  ibunya, Dzarifah  (tiga dari kiri).
SHEIKH Ahmad Dusuki (kanan) beramah mesra dengan Wan Izzat sambil diperhatikan ibunya, Dzarifah (tiga dari kiri).

Pasir Mas: Seorang tukang kebun terpaksa berhenti kerja sejak sebulan lalu untuk menjaga isterinya yang disahkan menghidap barah pankreas.

Pada masa sama, Wan Din Wan Ali, 49, perlu menjaga keperluan anak sulung mereka, Wan Izzat, 25, yang menghidap hemofilia, sawan serta tibi sejak berusia lapan bulan.

Dzarifah Mohamed, 49, berkata, sebelum disahkan menghidap barah pankreas, dia dan suami serta lima anak membantu menguruskan Wan Izzat.

“Kini, tugas itu digalas sendiri suami dengan dibantu anak lain kerana saya tidak mampu berbuat demikian.

“Saya disahkan menghidap barah pada 15 Mac lalu pada pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas berat badan turun mendadak.

“Pembedahan dilakukan seminggu selepas disahkan menghidap barah dan suami memilih untuk berhenti kerja bagi menjaga saya dan anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Slow Machang selepas menerima kunjungan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, Wan Izzat boleh berjalan secara normal namun sebaik disahkan menghidap tibi beberapa bulan lalu, kakinya menjadi lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:03 AM