JANGAN pandang mudah batuk berdarah.
JANGAN pandang mudah batuk berdarah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

"SUDAH dua bulan kakak saya alami batuk berdarah dan ia terjadi selepas dia (kakak) menolak lamaran seorang lelaki.

"Keluarga syak dia disantau dan kami bimbang dengan keadaannya," demikian luahan seorang wanita kepada Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Kita sering mendengar mitos mengaitkan batuk berdarah dengan perbuatan santau dilakukan seseorang berkemungkinan kerana dendam.

Dr Nurul Yaqeen berkata, hakikatnya masalah batuk berdarah adalah gejala kepada beberapa penyakit yang berkemungkinan serius.

"Ia penting untuk difahami bagi mengelak salah tanggapan kerana masalah batuk berdarah yang berpunca daripada penyakit paru-paru, sebenarnya boleh dirawat dan disembuhkan jika diberikan rawatan tepat serta betul.

"Antara lima punca batuk berdarah yang kerap berlaku ialah disebabkan penyakit tibi, paru-paru berparut (bronchiectasis), barah paru-paru, paru-paru bernanah dan jangkitan kulat di paru-paru," katanya.

PENYAKIT paru-paru berparut boleh menyebabkan batuk berdarah.
PENYAKIT paru-paru berparut boleh menyebabkan batuk berdarah.

Beliau berkata, selain batuk berdarah, pesakit tibi juga boleh mempunyai gejala seperti batuk berterusan, hilang berat badan, kurang selera makan dan demam pada waktu malam.

"Penyakit tibi boleh dirawat dengan makan ubat tibi selama enam bulan.

"Penyakit paru-paru berparut juga boleh menyebabkan batuk berdarah dan batuk berpanjangan," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya, jangkitan kuman boleh menyebabkan gejala batuk berdarah dalam kalangan pesakit ini.

SELAIN kehilangan berat badan, pesakit tibi juga mengalami batuk berdarah.
SELAIN kehilangan berat badan, pesakit tibi juga mengalami batuk berdarah.

"Pesakit diberikan antibiotik selama satu hingga dua minggu dan ini boleh membantu menyembuhkan gejala batuk berdarah dialami mereka," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, punca seterusnya ialah barah paru-paru apabila pesakit turut mengalami gejala seperti batuk berterusan, hilang berat badan dan kurang selera makan.

"Rawatan untuk penyakit barah paru-paru bergantung kepada tahapnya.

"Barah tahap satu dan dua masih boleh disembuhkan menerusi pembedahan.

"Barah pada tahap teruk pula iaitu tiga dan empat, lazimnya perlu dirawat menggunakan kaedah kemoterapi," katanya.

Katanya, pesakit menghidap penyakit paru-paru bernanah juga akan mempunyai gejala batuk berdarah dan batuk berterusan.

ALAT bronkoskopi digunakan untuk ujian ke atas pesakit batuk berdarah.
ALAT bronkoskopi digunakan untuk ujian ke atas pesakit batuk berdarah.

"Namun, ia boleh dirawat dengan pengambilan antibiotik selama enam minggu, bergantung kepada saiz nanah di paru-paru berkenaan.

"Jika saiznya (nanah di paru-paru) terlalu besar, ada kalanya memerlukan pembedahan paru-paru," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, punca batuk berdarah terakhir ialah jangkitan kulat di paru-paru.

"Ujian khusus perlu dilakukan bagi mengesahkan penyakit ini. Ia boleh dirawat dengan mengambil ubat antikulat selama tiga hingga enam bulan, bergantung kepada tahap jangkitan kulat berkenaan.

"Kebanyakan batuk berdarah yang berpunca daripada masalah paru-paru boleh disembuhkan dengan pengambilan ubat," katanya.

Beliau menyarankan orang ramai yang mengalami gejala batuk berdarah supaya segera berjumpa doktor paru-paru.

"Ini bagi mendapatkan pengesahan punca gejala batuk berdarah, sebelum menyalahkan santau sebagai penyebab batuk berdarah.

"Batuk berdarah boleh disembuhkan dengan rawatan awal yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 6:45 AM