AHLI keluarga berkumpul untuk menuntut jenazah mangsa di Jabatan Forensik Perubatan HGM. FOTO Ramli Ibrahim.
AHLI keluarga berkumpul untuk menuntut jenazah mangsa di Jabatan Forensik Perubatan HGM. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


“ADIK dan suaminya ke Johor untuk menziarahi anak saudara yang meninggal dunia, tapi tak sangka pula mereka turut meninggal dunia ketika pulang ke rumah di sini (Taman Mesra, Gua Musang),” kata Kamarulzaman Mohamed, 50.

Dia abang kepada Nor Hayati, 43, yang maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan van Toyota Hiace di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Lepan Jaya, Gua Musang pada 4.50 pagi hari ini.

Selain Nor Hayati, suaminya, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan pemandu van, Zulfaizan Muhammad, 43, turut meninggal dunia.

Manakala 12 mangsa lagi cedera dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Mereka yang cedera adalah tiga anak Che Azmi iaitu Mohamad Faris Faisal, 15; Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, dan Nur Damia Sofea, 7, dirawat di HKK.

Manakala, isteri Zufaizan iaitu Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, dan lapan anak mereka, Siti Fatimah Zulfaizan, 15; Masyitah, 14; Khaulah,11; Solehah, 9; Mawaddah, 7; Sakinah, 5; Muhammad Saad, 3, dan Ahmad Zaid berusia setahun, dirawat di HGM.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, dia dimaklumkan adiknya sekeluarga tergesa-gesa untuk pulang ke Gua Musang selepas menziarahi anak saudara Che Azmi yang meninggal dunia di Johor Bahru.

“Mereka tiba di Johor Bahru pada sebelah pagi (semalam) dan bertolak pulang pada 5 petang. Mereka mungkin rehat seketika sahaja.

“Kami sendiri pun pada mulanya tidak percaya kejadian ini berlaku kerana setahu saya, mereka ke Johor Bahru lima beranak dan takkan pulang cepat sangat,” katanya ketika ditemui di HGM.

Kamarulzaman berkata, kini lima anak arwah yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan itu.

Ketika kejadian, dua lagi anak mereka tidak ikut, iaitu Mohamad Izat Danial, 23, yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Mohamad Syakir Aiman, 18, yang bekerja di kedai makan sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kami sangat terkejut dengan kejadian yang menimpa ini namun perlu kuat demi anak-anak mereka. Insya-Allah kami akan menjaga kelima-lima anak arwah,” katanya.

Adik kepada Che Azmi, Azwan Hamzah, 30, pula berkata, ketika kejadian dia sedang memandu kereta di belakang kereta arwah.

“Saya melihat arwah terlalu tergesa-gesa untuk pulang ke Gua Musang dan kami berkonvoi sepanjang perjalanan pulang bersama. Saya gementar melihat kejadian berlaku di depan mata dan bergegas keluar memberi pertolongan,” katanya.

Che Azmi bertugas sebagai Ketua Kerani Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, manakala Nor Hayati adalah Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Muhammad Fakhry Petra, Gua Musang.

Berita berkaitan:

  • Suami isteri antara tiga maut
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 7:18 PM