Ramli Ibrahim


SEORANG lagi mangsa kemalangan di Kilometer 31 Jalan Gua Musang-Kuala Krai meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK), semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, Muhammad Faiziel Mohammad Rusdi, 27, pemandu kereta Perodua Myvi meninggal dunia pada 6.30 petang.

Menurut Mohd Taufik, mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan ketika menerima rawatan di HKK.

Katanya, sebelum itu mangsa mendapat rawatan awal di Hospital Gua Musang (HGM) sebelum dihantar ke HKK.

"Akibat parah di kepala dan badan, mangsa dipindahkan dari HGM ke HKK tetapi meninggal dunia petang semalam," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi itu, ibu dan adik mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar daripada kereta yang terbabas sebelum terhumban dalam cerun.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Maslan Hassan, 55 dan anak perempuannya, Nur Fashiera, 25, manakala seorang adiknya, Nur Farrah Ezlyn, 22, patah tangan kanan.

Empat beranak itu dalam perjalanan dari Damansara Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Aidiladha di Kampung Rekang Hilir, Bachok apabila Mohamad Faiziel dikatakan hilang kawalan mengakibatkan kenderaan itu terhumban ke dalam cerun.

Berita berkaitan

Tak sempat pulang beraya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 9:21 AM