Anggota bomba  mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. Gambar kecil, Abdul Mutalib.
Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. Gambar kecil, Abdul Mutalib.
Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Hasrat seorang pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Benta, Pahang untuk menyambut jamuan Aidilfitri bersama kakitangannya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Berang, FELDA Aring di sini, semalam,

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Abdul Mutalib Abdullah, 46, memandu sendirian kenderaan Toyota Lexus dalam perjalanan dari rumahnya di Gong Badak, Kuala Terengganu ke Benta, Pahang.

Difahamkan, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik merempuh tiang elektrik.

Bapa kepada enam anak itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Isteri mangsa, Noriah Ab Rahman, 50, berkata, arwah bertolak jam 4 pagi ke tempat kerja di Pejabat PUSPEN, Benta untuk menghadiri jamuan Aidilfitri bersama kakitangannya

“Arwah beria-ria sangat untuk mengadakan jamuan hari raya bersama kakitangan di pejabatnya di Benta dan tidak sangka perjalanan itu yang terakhir bagi arwah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HGM.

Menurut Noriah, pada mulanya dia menyangka suami tidak mengalami sebarang kecederaan apabila melihat gambar kenderaan dipandu arwah yang terbalik melalui kiriman aplikasi WhatsApp oleh rakan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa minit kemudian dia dimaklumkan suaminya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebagai perubahan dan menerima takdir kejadian itu dengan hati terbuka walaupun terpaksa menguruskan rumah tangga sendiri bersama enam anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 4:59 AM