GANDINGAN Beto dan Nadhir dalam Super Wira.
GANDINGAN Beto dan Nadhir dalam Super Wira.
Minda Ranggong


SIRI adiwira mempunyai tarikan serta keunikan tersendiri bukan hanya berjaya menambah hati peminat cilik malah golongan dewasa juga antara mengikut setianya.

Beberapa drama mengetengahkan genre 'live action' berjaya menambat hati penonton sejak sekian lama. Sekadar memberikan beberapa contoh drama antaranya siri Power Rangers, Ultraman, Kamen Rider Black atau Kesatria Baja Hitam.

Justeru bagi membuka lembaran baru menerusi genre ini Astro Ceria tampil menayangkan 'Super Wira' yang diterajui beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nadhir Nasar, Zizan Razak, Idan Aedan, Ezzaty Abdullah serta Mira Filzah.

Menurut Beto Kusyairy drama ini mempunyai tarikan tersendiri dan memberi satu lagi pilihan kepada penonton.

Beto yang membawa watak Johan dan adiwira Kapten Gemilang berkata, beliau menerima tawaran untuk berlakon dalam siri ini apabila mengetahui Ghaz Abu Bakar sebagai pengarahnya.

"Saya percaya akan hasil kerja Ghaz, oleh itu saya terus bersetuju apabila dia menawarkan watak ini dan terus menerima skrip," katanya ketika ditemui media pada sidang media baru-baru ini.

Sementara Nadhir Nasar pula berkata, beliau sangat berbesar hati kerana memegang watak antagonis sebagai Roy.

"Ini adalah peluang saya untuk menerokai bakat saya memegang watak antagonis memandangkan sebelum ini saya selalu memegang watak baik," kata pelakon yang mencetus fenomena menerusi drama bersiri Projek: High Council.

Sementara itu, Ketua Kandungan Kanak-Kanak Astro, Farah Fauzana Zainol Kamar berkata, 'Super Wira' menjadi pertaruhan mereka untuk kekal relevan dan berdaya saing dengan pesaing dalam mahupun luar negara.

"Kami ingin membuktikan bahawa produksi tempatan mampu bersaing dan melakukan siri-siri genre superhero seperti mana yang dilakukan oleh produksi-produksi antarabangsa.

"Lebih mengujakan apabila siri ini melihat kombinasi lakonan hebat. Bayangkan Beto dan Nadhir bertarung dalam 'fight scenes' menakjubkan. Malah kita akan melihat Mira Filzah dalam watak yang berbeza daripada kebiasaan.

"Selain daripada itu, kami juga memaparkan Idan Aedan yang mempunyai bakat lakonan yang hebat sebagai generasi pelapis di negara ini." katanya.

'Super Wira' merupakan siri berkonsepkan adiwira yang menggunakan elemen CGI untuk memberi impak realistik dalam pembikinan filem bergenre sci-fi fantasi.

Penceritaan fiksyen ini menampilkan pelbagai sudut aksi daripada pelakon yang hebat, seiring dengan minat golongan muda pada masa kini yang turut diselit inspirasi dan moral dengan tagline 'Kuasa Itu Pilihan'.

Siri ini akan mula menemui penonton pada 23 Oktober ini setiap Isnin jam 9 malam di Astro Ceria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 6:55 AM