ADISAK meraikan jaringan dengan gaya Ultraman ketika mewakili negaranya. FOTO Agensi
ADISAK meraikan jaringan dengan gaya Ultraman ketika mewakili negaranya. FOTO Agensi
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Minat yang mendalam sejak kecil terhadap rancangan popular, Ultraman, mendorong penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn meraikan setiap jaringannya dengan gaya watak itu.

Penyerang baharu Terengganu FC (TFC) berusia 32 tahun itu mendedahkan, dia mula melakukan gaya watak adiwira itu sejak mula pembabitannya dalam dunia bola sepak sekali gus menyaksikan namanya semakin dikenali dengan identiti berkenaan.

"Setiap pemain mempunyai gayanya yang tersendiri untuk meraikan jaringan, begitu juga dengan saya.

"Saya pilih watak adiwira Ultraman setiap kali meraikan jaringan kerana rancangan itu adalah menjadi kegemaran saya sejak kecil lagi, setiap kali siri Ultraman disiarkan dalam televisyen, saya tidak akan lepaskan peluang untuk menyaksikannya.

"Lagipun rancangan popular itu yang mula diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 80-an bukan sahaja menjadi 'kegilaan' dan penghibur golongan kanak-kanak, malah rancangan itu juga turut diminati golongan dewasa.

"Selagi saya bermain bola dan menjaringkan gol, saya tidak akan berhenti untuk meraikan jaringan dengan gaya watak adiwira Ultraman ini kerana ia sudah menjadi indentiti saya," katanya.

Terbaharu, pemain yang 'dirantai' selama dua tahun pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd itu mengayakan watak adiwira Ultraman ketika meledak jaringan ketiga negaranya ketika menumpaskan pasukan Malaysia 3-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 di Stadium Thammasat, Pathum Thani tiga minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, TFC Sdn Bhd bakal mengadakan karnival tahunan kelab dengan tema 'Black and White Day' di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, pada 17 Februari ini.

Pelbagai acara dan aktiviti menarik disediakan buat pengunjung termasuk liga penalti, kejohanan e-sukan, pertandingan mewarna, timbang bola, tarik tali selain memperkenalkan pemain, penaja dan jersi rasmi pasukan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:14 PM